Bertaubat sebenarnya bukan sahaja dalam bulan Ramadan tetapi kesempatan pada bulan yang penuh barakah ini sebenarnya banyak memberi kelebihan. Suasana di bulan lain tidak seperti bulan ini. Pada bulan ini kita merasa kasihan pada semua insan termasuk kepada diri sendiri. Ini kerana kita berada dalam keadaan yang lapar dan dahaga. Hati mudah tersentuh dan sensitif. Oleh yang demikian bila berdoa dan memohon keampunan dari Allah s.w.t saat diri kita yang berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya (kesan dari puasa), jiwa kita terasa kecil dan hina dengan dosa-dosa yang pernah kita lakukan sebelum ini. Apa lagi jika dosa besar yang kita lakukan.
Saat kita mengangkat tangan memohon doa keampunan, saat itu kita merasakan Allah memerhati kita dengan paparan segala rahsia dosa yang kita lakukan sebelum ini samada secara terangan atau tersembunyi. Kita mengaku kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan. Kita menyatakan kekesalan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi segala kesilapan tersebut di masa depan. Maka saat itu, jarang insan yang tidak mengalirkan air mata kerana kekesalan kecuali hati orang yang tidak betul-betul menyesal atau tidak ikhlas mahu taubat nasuha.
Allah s.w.t sentiasa mengampunkan segala dosa jika kita benar-benar inginkan keampunannya kecuali dosa syirik. Oleh yang demikian, sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya menyeru kepada diri sendiri dan pembaca blog sekelian, marilah kita semua bertaubat dengan bersungguh-sungguh di samping menjalankan amalan yang memberi saham yang menguntungkan di akhirat.
Sama-sama kita menjalankan ibadat puasa dengan penuh keinsafan........
Tiada ulasan:
Catat Ulasan