Sabtu, 28 Mei 2011

Kawan dan Lawan....

Kita akan kenal kawan dan lawan semasa kita susah…..Namun ada setetengah kawan yang mengambil kesempatan di atas kesusahan kita untuk kepentingannya seperti membantu kita dengan harapan disanjung dan apabila dia telah disanjung, maka jangan harap kita akan dipandangnya. Ini sebenarnya bukan  kawan tetapi lawan dalam selimut, atau lebih kasar bahasanya: Musuh dalam selimut.
Semasa kita berada di puncak dan  ada kuasa, semua pujian dan sanjungan melambung. Pengampu dan pembodek tidak terkira ramainya semata-mata ada kepentingan diri. Biasanya orang yang suka memuji di depan sebenarnya bersikap hipokrit kerana sangat mudah mengeji apabila di belakang. Orang-orang seperti ini suka mengambil kesempatan dan suka melihat orang membuat silap. Mereka juga suka menggalakkan orang melakukan perbuatan yang tidak baik dengan cara mengampu, membodek dan mengacah-ngacah serta menge”pam”. . Nampak baik dan bersopan santun tetapi penuh kejahatan menyelubungi hati mereka. Akal mereka panjang dan bijak berfikir dan faseh bercakap. Sayangnya mereka gunakan itu untuk dua perbuatan iaitu berbuat baik dan dalam masa yang sama berbuat jahat. Awas, jangan terlalu percaya kepada orang ini….

Dan apabila kita berada di bawah dan tiada kuasa, maka kita jangan harap kita akan mendapat separuh yang menjadi kebanggaan kita suatu masa dulu. Bahkan mungkin langsung tidak dapat. Jangan terkejut bila seorang yang pernah tidur sebantal, yang pernah makan sepinggan atau yang pernah mencium pipi kita akan bertindak melontar najis selepas kita hilang semua kelebihan.....

Sesungguhnya  lebih baik memelihara ular daripada memelihara orang-orang seperti ini apabila mereka susah nanti.....

Jumaat, 20 Mei 2011

daripada disisih baik berselisih....

Kadang-kadang bila kita rasa kita banyak berbudi tanpa mengharapkan balasan maka kita merasakan kita benar-benar ikhlas kerana niat kita untuk membantu semata-mata untuk menolong orang lain. Pengorbanan yang kita berikan cukuplah dirasakan suatu kepuasan bila berlaku kejayaan walaupun tidak mendapat upah satu sen pun. Justeru apabila tiba masa kita pula perlukan bantuan, lalu kita tidak disokong, maka bayangkan apa yang dapat kita simpulkan terhadap segala pengorbanan kita selama ini??
Rupa-rupanya tidak semua orang menghargai pengorbanan orang lain. Mereka ini mengambil kesempatan di atas jasa orang lain. Memang sukarnya mencari kejujuran dan keikhlasan di dunia sekarang ini. Kebanyakkannya berbuat sesuatu kerana ada imbuhan. Kalau tidak mereka tidak akan buat sesuatu dengan sukarela.
Ada setengah jabatan menubuhkan satu pasukan sukarela yang berkerja tanpa upah. Mereka di jabatan bergaji dan penuh dengan imbuhan manakala Jawatankuasa sukarela bekerja dengan jujur semata-mata untuk memajukan produk jabatan itu. Tetapi setelah puas berjuang dengan sukarela memajukan produk jabatan itu,  jangankan penghargaan malah Jawatankuasa disisih dan dipandang serong kerana hendak membuat satu keputusan yang tidak menyebelahi kehendak peribadi ketua jabatan.
Akhirnya rasa kekecewaan berjuang selama ini bertimpa-timpa sehingga merasakan hinanya diri dipandang sedemikian seolah-olah tidak bijak membuat keputusan sedangkan selama ini dialah yang memaju dan memperkasakan produk jabatan itu.
Kemudian, kuncu-kuncunya bagaikan menepuk tangan........
Jadi,  daripada terus disisih lebih baik kita berselisih sekarang....

Isnin, 16 Mei 2011

Kecewa.

Bila mengharap sesuatu, kita akan kecewa jika harapan kita tidak kesampaian. Makin bertambah parah kecewa bila apa yang diharapkan tidak kesampaian kemudian diperli dan dipermainkan pula. Umpama seorang menagih kasih dari sesaorang tetapi tidak berbalas. Tidak cukup dengan cinta tidak dibalas malah dihina dan diperlekehkan serta dipersalahkan. Kalau boleh, mimpi mukanya pun tidak boleh.

Kekecewaan sebegini memang menimbulkan dua perasaan sama ada menyepi sendiri meratap pedih atau menyimpan dendam yang penuh membara..Orang desperado memang sanggup buat apa saja untuk melepaskan kekecewaannya dalam bentuk dendam. Bahkan ada yang sanggup menjadi pengkhianat negara. Kalau kecewa kerana seorang kekasih mungkin tidak sampai ke peringkat ini tetapi bayangkan apa yang sanggup sesaorang itu lakukan mengikut tahap kekecewaan itu.

Yang menyepi sendiri, meratap pedih derita cinta dan sebenarnya menangis tanpa air mata di khalayak tetapi berjuraian di kala mendendangkan lagu pilu tika sendirian. Yang menyedari itu adalah takdir tuhan mungkin memohon keredhaan Ilahi supaya dikuatkan semangat menempuh hidup ini.

Kepada mana-mana orang yang pernah kecewa, ingatlah bahawa muhasabah diri penting untuk menilai kesilapan di mana letaknya. Kemudian berserah kepada-Nya. Sejarah pernah berlaku bahawa orang yang pernah mencerca menjadi cinta dan yang pernah memuji menjadi keji.

Kepada mana-mana orang yang pernah mengecewakan orang mengikut tahap busuknya hati, ingatlah bahawa sekali kita melukakan orang dua kali kita akan terluka….

Ahad, 1 Mei 2011

Tajassus

Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Tajassus dengan bahasa mudah bermaksud mengorek sesuatu berita. Dalam sebuah artikel berkenaan isu ini, Al-Syaikh Salim ‘Id al-Hilali ketika mensyarahkan hadith-hadith Riyad al-Salihin menyebut:
 Tajassus bermaksud mencari dan menyelidiki keburukan dan keaiban kaum muslimin. Al-Quran dan al-Sunnah telah melarang hal ini. Sebabnya ia menyakitkan empunya keaiban itu sedangkan dia berusaha menutup dan tidak melakukannya secara terang-terangan. Dilarang berusaha mencari kesalahannya kerana kita disuruh menutup keaiban seboleh mungkin”.( Al-Hilali, Bahjah al-Nazirin, 3/92, Jeddah: Dar Ibn Jauzi 1425H).

Sesuatu yang menggusarkan jika kita boleh mengorek rahsia atau keburukan orang kemudian kita sebarkan sama ada untuk memalukan atau menjatuhkannya. Jika ianya tidak menjadi kesalahan, sesaorang sewenang-wenangnya memasang CCTV di mana-mana tandas, bilik atau bilik hotel, kemudian menyebarkanya.

Walau bagaimanapun mengikut pendapat saya, sesetengah keburukan perlu dicegah supaya kesannya tidak mengenai kita semua. Jika Allah hendak turunkan sesuatu bala, dia akan turunkan ke atas semua manusia di kawasan yang dikehendaki, bukan ke atas individu yang melakukan kesalahan itu. Jadi jika ada hal yang meragukan, eloklah buat laporan kepada pihak berkuasa supaya mereka yang membuat tindakan dan bukannya kita merakam aksi mereka kemudian buat ugutan atau desakan. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab bukan yang memudaratkan. 

Sesungguhnya kerajaan yang baik adalah kerajaan yang menjaga kebajikan, keselamatan dan moral rakyatnya serta menyeru kepada mematuhi perintah Allah dan mencegah kemungkaran ( amar makruf, nahi mungkar).......