Selasa, 21 Disember 2010

cukup sampai di sini...

Kekecewaan dari sebuah pengharapan palsu yang tidak pernah ada kepastian. Membiarkan sesaorang mengharap dengan janji-janji yang tidak ada kesahihan ibarat menanti kucing bertanduk. Akhirnya diri tersiksa dan terkongkong dengan janji-janji yang 'masih dalam laut.' Apa lagi hidup dalam ruang berduri dan penuh kebencian maka jangan biarkan diri diikat dengan rantai yang tidak nampak di mata tetapi menyakitkan hati.

Tidak ada gunanya melayan imiginasi yang cuma nyata di alam mimpi di siang hari. Perlu kembali kepada realiti yang pasti dan tidak menyusahkan dan tidak pula 'meniti mata pedang'. Jika menyuburkan harapan dengan bicara manis yang boleh dipertikaikan kebenarannya, usah mengharap hati insan yang sentiasa berfikir menyimpan keyakinan. Jika diri melakukan kesilapan-kesilapan yang berulang-ulang dan sering diperingatkan kemudian beralaskan lupa atau bertindak ubah dengan tidak ikhlas hati, panas baran serta melepaskan perasaan yang berlawanan dengan tindakan hakiki, maka jelas kesefahaman tidak mungkin berlaku.

Jangan fikir kesetiaan kerana cinta membuta tuli bagi yang berfikir. Jangan ingat kerana cinta sesaorang sanggup menggadai kebahagiaannya bagi yang memandang masa depan. Kecantikan, kemanisan bicara, kebaikan budi yang tidak ikhlas, cinta yang nampak sejati tetapi tidak berani menghadapi kerusuhan situasi, tidak mungkin dapat mengekalkan kepercayaan seorang lelaki yang sentiasa memerhati dan berfikir.

Lelaki itulah aku.

Jumaat, 26 November 2010

Kebetulan atau Suratan

Kita sering melalui kehidupan yang tidak diduga. Kehidupan yang tidak kita impikan. Namun kita perlu bersyukur dan pasrah  kerana itu semua kehendak takdir. Walaupun demikian, ada kalanya kita perlu jauhi sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi dalam kehidupan kita. Terutama kehidupan yang menempah bahaya atau mengundang tanggapan yang menjatuhkan maruah sesaorang.

Dalam mengharungi pancaroba fana ini, kita diasak pelbagai dugaan dan rintangan. Sahabat sejati boleh menjadi musuh dalam sekelip mata dan sebaliknya ada juga musuh ketat akan menjadi kekasih yang  paling setia. Adakalanya, kita merancang dengan penuh ketelitian dengan mengharapkan kejayaan yang memuaskan impian tetapi kita gagal di tengah jalan. Manakala ada mereka yang tidak merancang apa-apa tetapi mendapat tanpa diduga bagai bulan jatuh ke riba.

Sesuatu yang tidak diduga mungkin ini satu kebetulan atau suratan yang ditakdirkan Allah. Ada baik buruknya dan ada impilikasi dari setiap kejadian. Jika mana-mana peristiwa berlaku atas diri kita tetapi ianya haram, contohnya menjumpai sejumlah wang di jalan, maka kita tidak boleh katakan itu rezeki yang Allah berikan kepada kita. Ada kaedah dan cara untuk memulangkan yang bukan hak kita. Itu sebenarnya ujian Allah terhadap kita. Ada setengah ibubapa pergi membeli belah di sebuah kedai dan mendapati penjual telah terlebih memulangkan wang baki atau ada barang yang tidak dikira secara tidak sengaja oleh penjual. Pada ibu bapa terbabit itu bukan salahnya dan dia mendiamkan diri kemudian pulang bercerita kepada anak-anaknya bahawa dia mendapat untung daripada kesilapan penjual. Amalan ini memang tidak sihat untuk dicontohi oleh anak-anak kerana ini akan mengajar anak-anak mencari helah menipu untuk mendapat sesuatu.

Sebab itu, sesuatu kejadian perlu dimuhasabah dan dikaji baik buruknya dan yang paling penting ingat bahawa dugaan Allah ada hikmahnya.

Selasa, 16 November 2010

Hilang berganti

Sekali sekala melayan lagu lama sungguh mnyengat di kalbu. Terbayang beberapa peristiwa yang hampir menepati senikata lagu ini......Dan kadang-kadang kita merasakan kesan kehilangan penyanyi ini.....

Sudirman : Biarlah Ku Sengsara Sendiri

Hampir menitis airmata tika menjiwai lagu ini di malam sepi......Siapa sahaja yang pernah kecewa atau cinta tak terbalas akan mengimbau kembali kepahitan yang pernah dialami takala mendengar alunan lagu ini....

Isnin, 15 November 2010

Puisi Kenangan Lama









Puisi ketika program Gabungan Hari Keluarga 2006
SELAMAT BERTEMU, SELAMAT BERTAMU

Kita tidak pernah bertemu
sekian lama waktu nan usang
nostalgia menemukan kita
kita kenal
tetapi tidak berbicara
kita mesra
tetapi tidak bersua
dan hari ini
kita bertemu
kita bertamu dalam debar yang menggamit imbauan silam
tanpa luahan
tanpa pernyataan
dalam diam seribu bahasa berucap dalam kepingan kertas
sebenarnya telah terikat naluri kerinduan
kini
kita umpama pantai dan pulau
nampak tak terjangkau tangan
jumpa tak tercapai hasrat
aku
sebenarnya aku yang dulu
aku yang kau tidak pernah tahu
sekeping hati telah dilarikan
selamat bertemu
selamat bertamu.

Ahad, 31 Oktober 2010

Membenci sesaorang yang disayangi

Menyayangi sesaorang adalah lumrah.Membenci sesaorang juga kebiasaan sifat manusia. Namun membenci sesaorang yang disayangi jarang-jarang berlaku. Banyak faktor yang menyebabkan situasi ini terjadi. Hakikatnya, ada sesuatu yang boleh membuatkan sesaorang itu membenci orang yang disayanginya.


Dalam kes ini, sesaorang yang disayangi mungkin telah melukakan hati, mengecilkan hati, atau menghilangkan kepercayaan dengan parahnya orang yang menyayanginya. Tidak kiralah apa sama ada atas sebab perbuatan, kata-kata atau sikapnya. Bila ini terjadi, maka tidak mustahil sebanyak mana sayang sekalipun sesaorang itu akan membenci kesayangannya itu. Inilah dikatakan sayang yang tidak membabi buta. Sesetengah orang apabila menyayangi sesaorang, walau apapun yang dilakukan, buruk atau baik, menyakitkan atau menyenangkan, semuanya ditelan mentah-mentah sebagaimana cerita 'Anakku Sazali".


Kadang-kadang orang yang tahu dirinya disayangi akan naik 'mua' (naik lemak) bila dia tahu dirinya terlalu disayangi. Dia tidak kisah apa dia nak buat kerana tahu tidak akan dimarahi.


Tetapi dia lupa bahawa setiap orang ada batasnya. Apabila keterlaluan, atau membuat sesuatu yang cukup melukakan hati orang yang disayangi, hatta kekasih sekalipun akan membenci. Dan bila benci bersarang di hati, tiada lagi kenangan manis, tiada lagi kasih sayang, tiada lagi ingatan silam, tiada lagi kasihan. Yang tinggal, hanyalah benci, sakit hati dan dendam.


Kemudian, segala rahsia yang telah pernah disimpan dengan 'paswood' sekalipun akan terungkai dan tersebar...


Pesan ulama'' berbaiklah berpada-pada dengan sesaorang kerana suatu masa dia mungkin menjadi musuh kamu dan berpada-pada juga membenci sesaorang kerana suatu masa tidak mustahil dia akan menjadi kawan karib kamu.."




Ahad, 3 Oktober 2010

Dibohongi

Sesungguhnya apabila kita menyayangi sesaorang kita akan menjadikan dirinya tempat mencurahkan segala kasih sayang. Bahkan rahsia dan hal-hal peribadi akan menjadi hak milik bersama. Kita percaya dan yakin dia juga akan turut menyimpan segala rahsia


Jadi, mulai saat itu pasti perasaan curiga  akan sentiasa menghantui kita....

Yang paling pelik...kita tetap sayangkannya......

Khamis, 2 September 2010

Semakin Hampir Berlalu











Semakin hampir Ramadan akan berlalu meninggalkan kita dan setahun kemudian akan datang lagi. Entahkan dapat entahkan tidak bertemu lagi dengan bulan mulia ini. Namun kita sering berdoa agar dapat ketemu lagi untuk menikmati anugerah Ilahi ini.

Kemudian InsyaAllah, pada 1 Syawal ini kita akan meraikan kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri. Sementara ada kesempatan ini, saya dan keluarga, memohon ampun dan maaf jika sepanjang blog ini beroperasi mengguris hati atau termakan lada namun ianya pasti kebetulan.

Pasang pelita tujuh likur
buat ketupat bersama-sama
Hari Raya tanda bersyukur
Mudah-mudahan amalan diterima

Riuh rendah gegak gempita
membeli mercun di kedai nyonya
ampun dan maaf mohon dipinta
lumrah insan demikian takdirnya

Rabu, 11 Ogos 2010

Ramadhan Singgah Lagi

Alhamdulillah....Saya sempat lagi untuk kali ke 48 menemui bulan yang mulia, Bulan Ramadhan. Dan kalian juga pasti bersyukur kerana dapat bersama di bulan yang penuh berkat ini. Bulan lain pun berkat tetapi bulan Ramadan lebih berkat kerana kita sentiasa pasrah, redha dan rendah diri dengan keadaan seharian seperti orang miskin, yang tidak menjamah apa-apa juadah di siang hari. Dan apabila malam, bila sendirian kita pasti memikirkan kehidupan kita.


Terlalu banyak yang hendak dipohon dari Allah s.w.t. di bulan ini. Marilah kita semua mengambil peluang beribadat dengan penuh ikhlas dan jiwa yang suci murni...


Berdoalah semoga kita dipanjang usia untuk menemui semula Ramadan pada tahun berikutnya supaya kita terus boleh beramal dan beribadat kepadaNya dengan cara zuhud....


...dan jangan jadikan bulan ini bulan melepaskan segala dendam.....

Selasa, 27 Julai 2010

Kepercayaan.

Mempercayai kenyataan orang lebih mudah dari menyakinkan orang mempercayai kenyataan kita. Itulah hakikat yang terpaksa kita tempuhi dalam kehidupan. Apa lagi kenyataan yang kita berikan tidak dengan bukti. Sekarang orang mempercayai dengan bukti sahaja. Namun ada kenyataan yang benar tetapi tidak boleh beri bukti kerana mungkin ada beberapa sebab. Hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

Tetapi percayalah bahawa kita mudah mempercayai seaorang jika kita selalu bercakap benar dan orang yang selalu curiga dengan kenyataan orang lain mungkin dia sendiri selalu bercakap tidak benar.

Dan bila kenyataan kita tidak dipercayai, apa lagi sudah ada tanda-tanda kita tidak bercakap benar sedangkan kita bercakap benar maka kita perlu berdiam seketika. Suatu masa, jika kita tidak benar, akan terserlah juga ketidakjujuran kita membuat kenyataan. Dan jika kita benar, akan terbukti kebenarannya suatu masa kelak.

Oleh itu, jika kita rasa curiga kepada sesuatu kenyataan, maka carilah kebenaran itu dalam diri kita sendiri....

Insya Allah kita akan temui kebenarannya....

Sabtu, 24 Julai 2010

Cinta 4 Segi


Cinta tiga segi memang lazim kita dengar dan lihat. Tetapi cinta empat segi agak jarang-jarang atau mungkin tidak pernah kita dengar. Kalau cinta tiga segi selalunya melibatkan dua wanita / dua lelaki seorang lelaki / seorang wanita. Apa yang berlaku kepada kawan saya ialah dia terlibat menyintai 3 orang wanita termasuk isterinya. Dua wanita lagi hadir dengan keadaan terhalang dan terlarang.

Hendak dibuang mati emak, hendak diitelan silap haribulan dirinya sendiri kemungkinan mati. Hendak tidak hendak, terpaksalah berahsia dengan segala kekuatan yang ada. Selagi boleh rahsia, dia akan rahsiakan sampai mati.

Uniknya cinta ini. Tidak kira siapa yang dicintai. Bila sudah jatuh cinta semuanya indah. Buruk pun jadi cantik.

Saya nasihatkan kawan saya, jangan bermain api kerana api jika dalam sekam lambat laun akan membakar seluruh timbunan sekam. Kawan saya kata, dia terpaksa kerana menyayangi ketiga-tiga wanita tersebut dan wanita-wanita itu pula menyayanginya, apa lagi isterinya. Dia tidak sanggup berpisah dengan mana-mana wanita tersebut. Kalau dia mampu, dia ingin mengahwini mereka, sayangnya dia tidak mampu dari segi ekonomi.......

Saya katakan, jika sudah tahu sampan kecil, jangan mengharungi ombak di lautan luas, kelak karam tidak bernesan. Kawan saya kata, kesemua wanita itu sanggup hidup dengan seadanya....... saya kata semua orang sanggup apa saja sebelum kahwin, sudah kahwin baru macam-macam tuntutan. Dia kata, isterinya sekarang boleh hidup seadanya. Betul, kata saya sebab sekarang dia memiliki seorang saja isteri. Bila sudah tiga isteri tidak mustahil masing-masing saling iri hati dengan apa yang madu-madu dia ada. Lebih baik jangan, sambung saya lagi.

Sebab itu kawan saya kata dia merahsiakan segalanya.......Cukuplah manisnya bercinta...... Hmmmmhhh...Keluh saya.....

Jumaat, 4 Jun 2010

Sumbangan Untuk Masjid

Bersedekah adalah satu amalan yang dituntut dalam Islam. Sedekah yang baik akan meneruskan pahala kepada orang yang memberi sedekah walaupun beliau telah meninggal dunia seperti bersedekah kepada pembinaan masjid. Selagi masjid itu wujud dan digunakan untuk beribadat selagi itulah pahala mengalir kepadanya.

Ramai orang pergi ke masjid pada solat Jumaat tetapi agak menyedihkan apabila tidak ramai yang sudi bersedekah apabila AJK masjid menghulurkan tabung untuk memohon sumbangan. Memang sedekah tidak boleh dipaksa dan pemberiannya pula hendaklah dengan ikhlas barulah sedekah diterima dan diredhai oleh Allah s.w.t. Namun begitu, seminggu sekali apa salahnya menanam dalam diri untuk bersedekah kepada masjid. Sediakanlah RM1 seorang untuk setiap hari Jumaat.

Bayangkan jika setiap orang yang pergi ke masjid pada solat Jumaat menghulurkan sedekah RM1 seorang. bayangkan jika setiap sebuah masjid yang dapat menampung 300 orang. Bukankah sumbangan yang dikumpul hari itu berjumlah RM300? Bayangkan jika sebulan? Empat kali Jumaat x RM300 = RM1200. Bayangkan pula jika sebuah negeri mempunyai 100 buah masjid? RM1200 x 100 buah = RM120,000 jumlahnya sebulan.

Banyak yang boleh dibuat dengan duit sedekah itu. Contohnya untuk membayar bil letrik, air, telefon dan pengubahsuaian masjid.

Jadi, saya menyeru kepada diri saya dan diri umat Islam semua, marilah kita wajibkan diri kita untuk bersedekah setiap hari Jumaat kepada masjid di mukim kita. Jadikanlah ianya satu amalan dengan ikhlas dan rela demi pembangunan Islam. Insya Allah.....

Ahad, 30 Mei 2010

Kebahagiaan Dalam Perpisahan

Sesiapapun insan di dunia ini akan merasa sedih apabila berlakunya perpisahan. Namun ada juga perpisahan yang membawa kebahagiaan kepada sesaorang. Contoh mudah jika seorang isteri hidup tersiksa dengan suami yang jahat pasti gembira jika diceraikan.


Apa yang ingin saya utarakan dalam artikel ini ialah perpisahan kekasih. 


Seorang kekasih tidak akan mahu berpisah jika terlalu menyintai pasangannya. Pendek kata setiap masa ingin bersama. Sedetik pun tidak hendak berpisah. Walaubagaimanapun jika percintaan membawa kesengsaraan jiwa dan batin lebih baik berpisah saja. Apa guna bercinta jika pertemuan belum tentu bahkan sentiasa ditentang oleh semua orang....


Percintaan rahsia yang penuh curiga dan kesumat saudara mara adalah tidak berbaloi untuk diteruskan. Percintaan begini adalah lebih baik ditamatkan. Perpisahan perlu dan perpisahan beginilah sebenarnya kebahagiaan yang akan dikecapi. 


Mereka kata walaupun tidak dapat bersama, cukuplah bercinta kerana bercinta dengan pasangannya membawa kebahagiaan. Bahagiakah jika terpaksa hidup dalam kebimbangan dan bercinta serta bertemu dengan cara sembunyi-sembunyi? Silap haribulan tersilap langkah, padah akhirnya....ini bukan bahagia tetapi sengsara cinta...


Pada awalnya perpisahan mungkin pahit tetapi perlu diingat bahawa pahit itu sebenarnya ubat yang paling baik. Jangan terpengaruh dengan rayuan pasangan yang tidak cuba memahami kebahagiaan dalam perpisahan. Pasangannya mungkin merayu tidak mahu berpisah kerana masih menaruh harapan tetapi kita ada akal dan teori sejarah yang boleh dijadikan panduan. Menolak ombak adalah kerja sia-sia. Mengharap sesuatu yang mustahil hanyalah angan-angan kerana mengikut nafsu. Kita perlu hadirkan diri dalam realiti....Jika kita sudah ada kebahagiaan jangan cuba cari kebahagiaan yang belum tentu yang hanya bersandarkan mimpi dan cinta kononnya. Cinta bukanlah mutlak menentukan kebahagiaan kerana banyak lagi rempah rencah yang memungkinkan kebahagiaan. Jangan kata harta bukan segala-galanya. Betul, harta bukan segalanya tetapi orang tidak akan bahagia hidup dalam kemiskinan kecuali insan zuhud.


Turut hati mati, turut rasa binasa dan turut nafsu lesu. Pepatah ini patut dihayati.


Oleh yang demikian jika percintaan tidak ada kesudahannya...lebih baik solat hajat dan istikharah untuk minta petunjuk kerana kadang-kadang, hilang manis ganti madu......bukankah lebih baik?


Maka berpisahlah untuk mencari kebahagiaan hakiki....

Jumaat, 21 Mei 2010

Pekerja Tanpa Upah.

Mungkin ramai merasakan bahawa adalah sesuatu yang bodoh apabila melakukan kerja tanpa ada imbuhan upah. Jarang orang hendak melakukan kerja tanpa gaji tetapi sesetengah orang apabila melakukan kerja dia tidak mengharapkan upah bahkan tidak mahu dibayar apa-apa. Baginya apabila kerjanya berjaya dilaksanakan, itu adalah satu kepuasan baginya. Yang penting puas!!

Sebagai contoh kerja hal-hal kebajikan seperti menolong orang yang dalam kesusahan dan yang memerlukan. Contoh lain ialah kerja sukarela dalam persatuan kebajikan. Jawatan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan lain-lain jawatan adalah kerja sukarela tanpa upah. Orang yang suka menjawat jawatan begini adalah orang yang suka kerja tanpa upah.

Kepuasan adalah keutamaan dalam diri orang yang suka kerja kebajikan. Keihklasan juga penting agar tidak ada udang di sebalik batu...Sesaorang akan merasa puas dan gembira apabila melakukan kerja sukarela jika beliau salah seorang Pekerja Tanpa Upah. Melakukan kerja dengan harapan mendapat pujian pun bukanlah termasuk dalam kategori kerja tanpa upah. Apatah lagi membuat kerja sukarela, memegang jawatan persatuan tetapi di sudut hatinya mengharapkan sesuatu. Contohnya ahli politik yang menjawat jawatan sukarela dengan mengharapkan pengundi percaya beliau adalah seorang yang prihatin. Ini juga bukan kategori    tajuk artikel ini.

Selain sifat yang suka menolong orang, Pekerja Tanpa upah sentiasa mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Hanya Allah yang tahu keikhlasan dalam hati mereka....dan pasti ganjaran menanti di akhirat....

Ahad, 25 April 2010

Mencintai Sesaorang sangat unik?


Mencintai sesaorang bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya sangat indah dan bernilai. Mencintai sesaorang terlarang juga sesuatu yang indah walaupun anggapan orang lain sangat keji. Jika tidak berlaku ke atas diri sendiri, kita tidak akan tahu. Namun tidaklah patut mengeji keterlaluan jika ianya berlaku ke atas orang lain kerana kita tidak tahu apa akan berlaku di masa depan. Mungkin apa yang kita keji itu, suatu ketika mungkin kita sendiri akan buat.

( Saya lupa sama ada ianya hadis atau pesan pujangga...Bunyinya lebih kurang begini: Janganlah kamu melampau mengutuk sesaorang yang melakukan kesilapan kerana tidak akan mati sesaorang yang mengutuk itu selagi dia sendiri tidak melakukan kesilapan itu.)

Berbalik kepada mencintai sesaorang terlarang. Cinta memang tidak mengenal siapa. Cinta itu kononnya unik. Kadang-kadang kita tidak tahu mengapa kita mencintai sesaorang itu. Hendak kata kerana rupa, taklah cantik sangat, kadang-kadang yang sudah ada jauh lebih menawan, kalau kerana harta, tidak ada apapun, kalau kerana budi bahasa, kadang-kadang lebih teruk dari yang sedia ada. Jadi tidak dapat dihuraikan apakah yang menyebabkan cinta itu berputik kecuali kebarangkalian adakah sebenarnya kerana nafsu?. 

Untuk mengatakan ianya kerana nafsu tidaklah tepat 100% kerana mendalamnya cinta sangat hebat. Sekadar mendengar suara pun sudah memadai. Bahkan sekadar melihat tangga rumah pun sudah merungkaikan rindu yang terbuku dikalbu.....dan adakah kekuatan itu semua yang meronta-rontakan hati untuk bertemu dan seterusnya.....memadu asmara? Maka berlakulah pembalasan dendam....

Apapun, cinta itu sangat unik. Dia tidak mengenal tua muda, terlarang atau tidak, atau cantik atau buruk. Apabila terpikat sahaja, segalanya indah walaupun ianya barah yang parah akhirnya......

Cuma sesekali ketika sendirian renungi seketika.....benarkah cinta ini sesuci embun di waktu pagi? Atau ianya nampak ikhlas dari hati nurani yang murni yang penuh keajaiban tetapi sebenarnya itulah muslihat sang iblis laknatullah mencantikkan permulaannya meskipun terlarang kemudian memacu ke lembah kekufuran?


Ahad, 11 April 2010

Keroncong untuk ana....

Lagu genre keroncong nyanyian M. Nasir ini cukup menggamit nostalgia kepada seorang 'hawa'  yang pernah ku kenal suatu masa dahulu ketika remaja di dalam tingkatan 6 tahun 1983. Lalu kufikirkan bahawa lagu itu membayangkan hatiku mengimpikan sesuatu yang sukar kumiliki tetapi tidak mustahil....

si 'hawa' idaman nampak macam tidak pedulikan hatiku tetapi kekadang renungannya membayangkan harapan....dan bila berkumandangnya lagu ini waktu itu  aku jadikan aku penyanyi itu dan berteka teki sendiri, adakah aku bertepuk sebelah tangan atau sebaliknya......
Dan rupanya harapan itu tertunas selepas dua tahun kemudian tetapi masa jadi penentu takdir...entah di mana silapnya.....perjalanan menjadi tidak selari lagi.....senyap dan sunyi.....tanpa kabar berita darinya....dan aku kembara di tanah gersang....

Selepas 27 tahun berlalu....lagu ini berkumandang lagi tetapi dalam zaman yang berbeza.....dalam taman yang penuh amaran.....namun sukar untuk mengalihkan fokus perasaan kerana hati telah terpaut.......dan mengharap dalam dilema....menanti dalam mimpi......dan tika mata bertentang....hati seolah bertanya....sudikah kau jadi ana?.......

...dan kini bila terdengar lagu keroncong untuk ana ... aku tetiba kembali ke tahun 1983 dengan situasi versi cerita yang sama tetapi watak yang cukup berbeza.........ahhh...

Adakah nama lagu itu perlu ditukar sebagai keroncong untuk en?

Jumaat, 9 April 2010

Andai Dapat Kuundurkan Masa.....

Semasa mendengar sebuah lagu Andai Dapat Ku Undurkan masa....mindaku melayang-layang terkenangkan beberapa kekesalan yang telah berlaku atas kesilapanku....antaranya kesilapanku menyintai sesaorang yang akhirnya membuatkan aku kecewa teramat sangat...Ini kerana aku terlalu menaruh harapan...terlalu mengikut apa saja....namun..saat aku hanyut dalam angan-angan ke gerbang perkahwinan tetiba dia melangkah pergi....meninggalkan aku terkapai-kapai lemas dalam sengsara derita jiwa.....

Andai dapat ku undurkan masa...aku tidak akan menyimpan rasa cinta sedikit pun padanya...aku akan lawan perasaan ini walaupun seribu godaan yang dipamerkan....kekesalan menyintainya menyebabkan aku di mata tetangga hilang harga diri.....hilang rasa hormat....Tuhan saja yang tahu bagaimana ini terjadi...

.....dan jika dapat kuundurkan masa....banyak yang ingin ubahkan........terlalu banyak......

Isnin, 15 Februari 2010

Kejujuran dan Keimanan.

Mengenali sesaorang, suatu yang indah...Mungkin indah pada awalnya tetapi bila dah kenal baru tahu ianya tidak sebagaimana kita fikirkan....Kebahagiaan hanyalah kosmetik sahaja. Jika seorang perempuan yang sudah berkahwin punya anak yang ramai tetiba jatuh cinta dengan lelaki dan sanggup tinggal suaminya kerana seorang lelaki yang ada isteri, isterinya pula kawan baiknya juga dan lelaki itu belum tentu dapat membahagiakannya, maka apa yang boleh kita simpulkan? Ramai orang berkata tidak mustahil suatu masa dia akan buat begitu pula kepada kekasihnya itu...Dan ramai juga dia bukanlah wanita yang baik kerana sanggup menikam kawannya sendiri dari belakang.

Dan sebenarnya boleh diuji dan boleh dinilai dari tindak tanduknya. Lelaki itu mengesan keburukannya dari cerita bohongnya, kesanggupan menganiaya, keliaran matanya memandang lelaki lain dan paling jelas apabila kekasihnya menguji dengan melakunkan sebagai seorang yang salah hantar sms hendak berkenalan. Terang lagi bersuluh bila wanita itu melayan teman smsnya dengan khusyuknya tanpa dia mengetahui kekasihnya sendiri yang bersms. Akhirnya perangainya yang suka melayan ramai lelaki terbongkar.

Dan kini wanita itu ditinggalkan oleh kekasihnya dan dia kembali semula kepada suaminya....Cuma malangnya suaminya tidak cuba memahami isterinya itu....menerima seadanya walaupun isterinya pernah melarikan diri dari rumah dan tinggal bersendirian di rumah sewa......

Moral cerita ini, ketabahan atau kesetiaan atau kedunguan suami terhadap isteri dan kecurangan isteri terhadap suami sebenarnya tidak akan berlaku jika kejujuran dan keimanan teraju utama....

Khamis, 28 Januari 2010

SEDANG MENANTI







Untuk sampai ke hujung pemisah
takdir mesti diangguk jua
akur dan rela
ketika pengertian
terselit di sebalik tafakur.

Lupakan hari semalam
sememangnya ada yang dilupai
ada yang langsung melupakan
dan bawah sedar terus tersepak
sedang gelak terkadang tersedak
membentuk kesan tersendiri
memandang saki baki kehidupan
sebelum mata melihat pemergian.

Kita singgah dan datang ini
untuk pergi semula
kita pergi ini
untuk singgah dan tiba bermastautin
dengan acuan yang dibentuk
sekian lama.....

"Ya Allah Yang Maha Berkuasa
layakkanlah aku ke syurga-Mu
kerana ku tidak sanggup
ke mana-mana neraka-Mu"

Rabu, 20 Januari 2010

Taksub cinta


Perasaan cinta yang mendalam menyebabkan sesaorang itu taksub. Taksub dengan sesaorang kerana cinta akan menyebabkan hatinya mati. Maksudnya, kerana terlalu menyintai kepada sesaorang, dia hanya akan melihat semuanya baik. Tidak ada cacat celanya walaupun dia tahu ada kekurangan tetapi dia tidak hendak menerimanya sebagai keburukan.

Ketaksuban terhadap sesaorang kerana cinta akan menyebabkan pandangan orang lain tidak betul. Hanya apa yang ada dalam fikirannya sahaja yang benar. Sebab itu tidak hairanlah jika berlaku peristiwa kahwin lari, kahwin comboy dan sebagainya. Pendekata semua pemikirannya akan singkat dan tidak langsung mempedulikan orang lain.

Dalam sejarah cinta, ramai yang putus saudara kerana cinta bahkan ada yang sanggup mati kerana cinta.... Sukar untuk menafsirkan kerana cintakah atau kerana nafsukah????

Cuba perhatikan sebuah pantun ini:

Nasi lemak buah bidara
sayang selasih hamba lurutkan
tinggal emak tinggal saudara
kerana kasih hamba turutkan

Cubit peha tanya akal......