Jumaat, 26 November 2010

Kebetulan atau Suratan

Kita sering melalui kehidupan yang tidak diduga. Kehidupan yang tidak kita impikan. Namun kita perlu bersyukur dan pasrah  kerana itu semua kehendak takdir. Walaupun demikian, ada kalanya kita perlu jauhi sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi dalam kehidupan kita. Terutama kehidupan yang menempah bahaya atau mengundang tanggapan yang menjatuhkan maruah sesaorang.

Dalam mengharungi pancaroba fana ini, kita diasak pelbagai dugaan dan rintangan. Sahabat sejati boleh menjadi musuh dalam sekelip mata dan sebaliknya ada juga musuh ketat akan menjadi kekasih yang  paling setia. Adakalanya, kita merancang dengan penuh ketelitian dengan mengharapkan kejayaan yang memuaskan impian tetapi kita gagal di tengah jalan. Manakala ada mereka yang tidak merancang apa-apa tetapi mendapat tanpa diduga bagai bulan jatuh ke riba.

Sesuatu yang tidak diduga mungkin ini satu kebetulan atau suratan yang ditakdirkan Allah. Ada baik buruknya dan ada impilikasi dari setiap kejadian. Jika mana-mana peristiwa berlaku atas diri kita tetapi ianya haram, contohnya menjumpai sejumlah wang di jalan, maka kita tidak boleh katakan itu rezeki yang Allah berikan kepada kita. Ada kaedah dan cara untuk memulangkan yang bukan hak kita. Itu sebenarnya ujian Allah terhadap kita. Ada setengah ibubapa pergi membeli belah di sebuah kedai dan mendapati penjual telah terlebih memulangkan wang baki atau ada barang yang tidak dikira secara tidak sengaja oleh penjual. Pada ibu bapa terbabit itu bukan salahnya dan dia mendiamkan diri kemudian pulang bercerita kepada anak-anaknya bahawa dia mendapat untung daripada kesilapan penjual. Amalan ini memang tidak sihat untuk dicontohi oleh anak-anak kerana ini akan mengajar anak-anak mencari helah menipu untuk mendapat sesuatu.

Sebab itu, sesuatu kejadian perlu dimuhasabah dan dikaji baik buruknya dan yang paling penting ingat bahawa dugaan Allah ada hikmahnya.

Selasa, 16 November 2010

Hilang berganti

Sekali sekala melayan lagu lama sungguh mnyengat di kalbu. Terbayang beberapa peristiwa yang hampir menepati senikata lagu ini......Dan kadang-kadang kita merasakan kesan kehilangan penyanyi ini.....

Sudirman : Biarlah Ku Sengsara Sendiri

Hampir menitis airmata tika menjiwai lagu ini di malam sepi......Siapa sahaja yang pernah kecewa atau cinta tak terbalas akan mengimbau kembali kepahitan yang pernah dialami takala mendengar alunan lagu ini....

Isnin, 15 November 2010

Puisi Kenangan Lama









Puisi ketika program Gabungan Hari Keluarga 2006
SELAMAT BERTEMU, SELAMAT BERTAMU

Kita tidak pernah bertemu
sekian lama waktu nan usang
nostalgia menemukan kita
kita kenal
tetapi tidak berbicara
kita mesra
tetapi tidak bersua
dan hari ini
kita bertemu
kita bertamu dalam debar yang menggamit imbauan silam
tanpa luahan
tanpa pernyataan
dalam diam seribu bahasa berucap dalam kepingan kertas
sebenarnya telah terikat naluri kerinduan
kini
kita umpama pantai dan pulau
nampak tak terjangkau tangan
jumpa tak tercapai hasrat
aku
sebenarnya aku yang dulu
aku yang kau tidak pernah tahu
sekeping hati telah dilarikan
selamat bertemu
selamat bertamu.