Jumaat, 17 Mei 2013

Impian dan Keadilan


Mengimpikan sesuatu yang mustahil kadang-kadang kita merasakan ianya tidak mustahil. Kita selalu mengangankan impianj akan menjadi kenyataan. Namun kita lupa bahawa impian kita kadang-kadang mustahil tetapi kita masih mengharapkan ianya menjadi kenyataan. Kita terpengaruh dengan cerita-cerita dalam filem, di mana seorang yang miskin tiba-tiba menjadi kaya kerana bertemu dengan cincin hikmat atau harta karun atau berjumpa kendi hikmat yang apabila digosok keluar jin.

Sehingga hari ini, kita masih mengharapkan  keajaiban itu. Kita sebenarnya tertipu oleh permainan minda pengarahnya yang mungkin mempunyai imaginasi yang keterlaluan dan diterjemahkan ke dalam filem. Sebagaimana masayarakat sekarang dimomokkan dengan rupa hantu, sehinggakan kita terbayangkan rupa hantu seperti dracula, pontianak, pocong dan sebagainya seperti dalam filem yang kita tonton sejak kecil. Pada hal, tidak ada seorang pun manusia di dunia ini pernah melihat hantu, melainkan menerusi mimpi dan imaginasi. Itu pun kerana mereka pernah menonton atau mendengar cerita, maka rupa hantu yang keluar dalam mimpi mereka sama seperti dalam filem.

Kembali kepada impian yang keterlaluan, kita mahukan sesuatu yang mustahil seperti bertemu harta karun, azimat yang boleh menjadikan kita kaya, ilmu pengasih yang boleh kita memiliki anak raja atau jutawan atau sebagainya. Kenikmatan dalam angan-angan membuatkan kita alpa dan lupa bahawa untuk mendapatkan sesuatu itu haruslah dengan usaha. Sebagaimana jodoh, kita akan bertemu jodoh dengan sealiran dengan kita. Kalau kita jahil, solat, puasa, tidak pernah kita lakukan, mana mungkin kita akan bertemu dengan pasangan yang warak dan alim? Setiap apa yang kita amalkan, itulah acuan atau jodoh yang akan kita temui. Kalau kita halusi dan muhasabah diri kita, kemudian kita lihat pasangan kita sekarang...? Mungkin dalam kita tidak sedari, sebenarnya pasangan kita sehaluan dan seperangai dengan kita....Demikian keadilan yang Allah berikan kepada manusia.... Kalau ada sesiapa yang sudah beristeri atau bersuami, kemudian bertemu jodoh dengan anak dara atau anak teruna....janganlah rasa bangga atau bermegah tentang kehebatan mereka memiliki pasangan baru itu.....sebaliknya berfikirlah dengan penuh keinsafan tentang keadilan tuhan....

Oleh yang demikian, terimalah seadanya....Jangan mengimpikan sesuatu yang mustahil. Ukur baju dengan badan sendiri. Menaruh harapan tidak salah, mengimpikan sesuatu yang keterlaluan tidak salah tetapi jangan menyalahkan takdir jika ianya tidak menepati apa yang diharapkan....