Jumaat, 3 Januari 2014

Tahun 2014 - Melangkah Masuk.

Tahun 2013 dan tahun-tahun sebelumnya sudah berlalu dan tidak akan kembali lagi. Walau bagaimanapun segala peristiwa, perbuatan dan ucapan pada tahun-tahun yang lepas akan diulang tayang pada hari segala perhitungan iaitu di Padang Masyar di mana semua manusia berkumpul untuk diadili dan dihisab. Jika kita berbuat kebaikan dan bertaubat dengan penuh ikhlas, in-sya-Allah dipermudahkan hisab dan masuk syurga atau masuk syurga tanpa hisap bergantung kepada amalan masing-masing. Tidak timbul ulang tayang keburukan  kita semasa di dunia. Tetapi jika kita tidak bertaubat dan mengamalkan kejahatan serta melakukan dosa berterusan, Allah akan tayangkan semua perilaku kita semasa di dunia sama ada perbuatan dosa yang dilakukan secara terbuka atau tersembunyi di mana akan ditonton oleh semua umat manusia termasuk ibu bapa, anak cucu dan kaum kerabat serta kawan-kawan. Bayangkan saat kita sedang ketakutan akan memasuki neraka, kita juga dimalukan sebegitu rupa yang tidak dapat fikirkan di dunia ini.

Maka, ketibaan 2014/ Rabiulawal 1435H, saya mengingatkan diri saya dan saudara seagama, marilah kita sama-sama menginsafi segala dosa meskipun sebesar hama. Marilah kita tanamkan tekad bertaubat dari segala dosa, memulakan amalan yang meningkatkan timbangan pahala. Berbuat baiklah sesama manusia dan teruskan amar maaruf, nahi mungkar.

Mudah-mudahan Allah menerima dan memberi segala hidayah dan redha kehidupan kita di dunia-Nya ini. Semoga kita menuju Syurga tanpa segala masalah.

"Ya Allah, ya Maha Berkuasa ke atas diriku dan ke atas segala makhluk ciptaan-Mu, ampunkanlah dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu bapaku, dosa-dosa ahli keluargaku, dosa-dosa guru-guru Islamku dan dosa-dosa saudara seagamaku. Jauhkanlah kami semua dari seksa api neraka-Mu dan berikanlah kami kebaikan di dunia-Mu dengan penuh keredhaan dan keberkatan...."