Khamis, 27 November 2014

SIKAP BOS

Sesetengah orang, apabila  menjadi bos, dia merasakan dia sangat layak dan mula merasakan semua orang bawahan  tidak akan dapat mengatasi kecerdikan nya. Mungkin ada beberapa perkara tertentu bos lebih bijak untuk menentukan sesuatu keputusan tetapi sekali-sekala bos perlu juga menghayati pandangan orang bawahan yang mungkin bercanggah dengan apa yang ingin putuskan. Berilah masa dan ruang untuk kita melihat sama ada keputusan yang dicadangkan oleh orang bawahan itu ada bersifat produktif atau tidak.
Justeru, mengambil idea orang bawahan sekali sekala akan memberi suntikan semangat kepada staf-staf untuk bekerja lebih kuat. Jangan takut kita disaingi kerana ular yang berbisa tidak akan hilang bisanya dek kerana menyusur akar.
Bos yang bijak akan mengolah semua idea yang dibentangkan menjadi suatu hasil yang sangat berkesan dan nyata. Bos itu sendiri tugasnya memfokuskan organisasi yang dipimpinnya tanpa mengira siapa yang mencetuskan idea untuk kejayaan itu. Tugas Bos adalah untuk memandu kapal yang diketuainya ke destinasi yang tertentu dan mengekalkan semua prestasi.
Bos yang berjaya tidak cerewet. Kalau semua staf tidak kena di matanya bermakna dia merasakan dirinya sahaja yang betul. Sikap ini akan menutup perkembangan idea dan sangat negatif untuk menjayakan sesuatu. Mungkin sikap cerewetnya berjaya di dalam keluarganya tetapi besar kemungkinan mustahil membuatkan organisasinya berjaya kerana di dalamnya ada pelbagai fahaman dan pandangan. Maka keluarkan dari sikap pentingkan diri sendiri kepada sikap lebih terbuka. Kalau kita terlalu menggunakan kuasa dan wang ringgit untuk berjaya, kita akan gagal apabila semua itu tidak ada tetapi jika sikap lemah lembut, kesedaran sivik, ukhwah antara staf, bekerja bersama-sama, tawadduk dan bertoleransi, insya-Allah staf akan sehidup semati dengan kejatuhan atau kebangkitan organisasi yang dipimpin.
Yang pasti, apabila organisasi menempa kejayaan, Bos tidak boleh mendabik dada dan berkata, “ini adalah kerana aku ada di sini...”
Sepatutnya kata-kata bos yang bijak akan berbunyi, “ ini adalah kejayaan kita semua di dalam organisasi ini, tahniah semua.”

Selasa, 16 September 2014

Kebahagiaan

Kebahagiaan bukan terletak pada kecantikan dan kekayaan. Kekayaan sebenar berada dalam diri kita sendiri. Kita boleh bahagia walaupun kesaorangan jika hati kita tidak ada masalah dan sering mengingati Allah. Demikian pula jika kita mempunyai pasangan hidup, kebahagiaan itu berada dalam diri kita kerana dikasihi dan disayangi oleh pasangan hidup dan kita pula menyayanginya.

Walau miskin dan buruk rupa andai hati redha dan ikhlas menerima takdir, insya-Allah bahagia tetap menjadi milik kita. Ramai di luar sana mempunyai hampir semua keperluan duniawi termasuk rumah,  kereta, rupa paras yang cantik dan segak, harta benda, wang ringit dan sebagainya tetapi bila keperluan batin dan emosi tidak dapat dipenuhi atau kurang dipenuhi, kebahagiaan yang ditampakkan melalui kemewahan hidup hanyalah lakunan semata-mata. Walau bagaimana ditahan dan dikawal untuk tidak meneyrlahkan penderiataan dalaman, suatu masa pasti ianya akan terbongkar sama ada menerusi perpisahan atau kecurangan.

Justeru, untuk hidup bahagia hakiki, keperluan zahir dan batin hendaklah diseimbangkan. Batin bukan sahaja pada sex semata-mata tetapi keperluan zahir yang hakiki terletak kepada kasih sayang dan cinta.

Pelengkap segala kebahagiaan hidup ialah apabila kita menjalani hidup di dunia ini berlandaskan amar makruf nahi mungkar. Tanda-tanda awal bahagia akan menjelma apabila hidup kita semakin hampir kepada Allah iaitu kita semakin mengingati dan mengamalkan perintah Allah. Jika selepas menemui pasangan kita (sama ada berkahwin atau berkawan) kita semakin bergerak ke arah ini, maka ketahuilah bahawa kita sebenarnya diredhai dan diberi rahmat oleh Allah SWT. Ins-Sya- Allah.

Sabtu, 1 Mac 2014

PERKARA BARU DALAM HIDUP

Kita hanya merancang tetapi Tuhan Menentukan samada mengikut apa yang kita rancang, tersasar jauh dari yang dirancang atau diubahsuai sedikit sebanyak perancangan kita sebenar. Bukan sesuatu yang pelik jika kita redha dengan apa yang berlaku.

Sebelum kita mengetahui keputusannya, kita suka berspekulasi dengan bermacam tanggapan negatif. Sedangkan apa yang dirancang, jika dengan tujuan yang baik, kita sepatutnya menilai sejauh mana kita memastikan perancangan menjadi kenyataan. Selepas semuanya dibereskan, kita wajib bertawakkal kepada Allah.

Sesuatu perkara yang kita belum pernah melaluinya, kita sudah tentu mendengar dari cerita-cerita orang yang pastinya pelbagai reaksi. Jika kita seorang insan yang boleh berfikir dan ingin berfikir, kita sudah tentu tidak mahu menjadi yang tidak baik. Jika pasti masuk kandang harimau akan dibaham, tetapi jika kita terpaksa memasukinya atau kita perlu memasukinya, bodoh benar jika kita tidak merancang dan mengkaji kelemahan apa mereka yang masuk dibaham harimau. Maka di sini, tindakan bagus kita ialah, kita membuat perancangan yang menang-menang. Kita terselamat, harimau pun tenang melihat kehadiran kita.

Sebab itu, perkara baru yang ingin kita lalui, kita perlu ada cara yang sistematik supaya ianya tidak gagal. Kita mesti ingat apa yang kita hendak buat Jangan Bukan Kerana Allah, Bukan Kepentingan Diri Jangan Menyalahi Hukum Islam, Yakin dan Takwa serta Bertawakallah. In-sya Allah semua yang payah akan dipermudahkan, Jadi mengapa susahnya hendak membuat perkara baru yang sering menjadi masalah kepada orang lain?

Orang yang bijak tidak akan mendapat keputusan yang sama dengan orang yang tidak bijak.

Contoh Terkini : Jika Perkahwinan untuk isteri kedua itu selalunya berakhir dengan porak peranda sebagaimana kita dimomokkan dalam semua media, cerita mulut ke mulut, mengapa kita perlu turut kegagalan itu? Orang cerdik tidak akan memulakan kerja tanpa peracangan. Bukankah Allah memberi kita akal untuk berfikir dan mengkaji serta berikhtiar! Sesungguhnya, Allah tidak akan membenarkan umatnya berkahwin lebih dari satu jika tidak ada hikmah dan musabah serta kelebihannya. Hanya kita yang merosakkannya dengan penyakit hati - Cemburu, Dengki dan Tamak.

Maka, perkara baru dalam hidupku....perlu tabah dan cekap menghadapinya.....
Kejayaan Lafaz pada 27- Feb - 2014 / 27 Rabiulakhir 1435H ( Membuatkan bertambah aku yakin bahawa sentiasa bergantung kepada Allah untuk selamanya adalah wajib ke atas semua urusan...)

Aku perlu buktikan tetapi jika mereka menggagalkannya, aku perlukan bantuan-Mu Ya Allah.

Jumaat, 3 Januari 2014

Tahun 2014 - Melangkah Masuk.

Tahun 2013 dan tahun-tahun sebelumnya sudah berlalu dan tidak akan kembali lagi. Walau bagaimanapun segala peristiwa, perbuatan dan ucapan pada tahun-tahun yang lepas akan diulang tayang pada hari segala perhitungan iaitu di Padang Masyar di mana semua manusia berkumpul untuk diadili dan dihisab. Jika kita berbuat kebaikan dan bertaubat dengan penuh ikhlas, in-sya-Allah dipermudahkan hisab dan masuk syurga atau masuk syurga tanpa hisap bergantung kepada amalan masing-masing. Tidak timbul ulang tayang keburukan  kita semasa di dunia. Tetapi jika kita tidak bertaubat dan mengamalkan kejahatan serta melakukan dosa berterusan, Allah akan tayangkan semua perilaku kita semasa di dunia sama ada perbuatan dosa yang dilakukan secara terbuka atau tersembunyi di mana akan ditonton oleh semua umat manusia termasuk ibu bapa, anak cucu dan kaum kerabat serta kawan-kawan. Bayangkan saat kita sedang ketakutan akan memasuki neraka, kita juga dimalukan sebegitu rupa yang tidak dapat fikirkan di dunia ini.

Maka, ketibaan 2014/ Rabiulawal 1435H, saya mengingatkan diri saya dan saudara seagama, marilah kita sama-sama menginsafi segala dosa meskipun sebesar hama. Marilah kita tanamkan tekad bertaubat dari segala dosa, memulakan amalan yang meningkatkan timbangan pahala. Berbuat baiklah sesama manusia dan teruskan amar maaruf, nahi mungkar.

Mudah-mudahan Allah menerima dan memberi segala hidayah dan redha kehidupan kita di dunia-Nya ini. Semoga kita menuju Syurga tanpa segala masalah.

"Ya Allah, ya Maha Berkuasa ke atas diriku dan ke atas segala makhluk ciptaan-Mu, ampunkanlah dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu bapaku, dosa-dosa ahli keluargaku, dosa-dosa guru-guru Islamku dan dosa-dosa saudara seagamaku. Jauhkanlah kami semua dari seksa api neraka-Mu dan berikanlah kami kebaikan di dunia-Mu dengan penuh keredhaan dan keberkatan...."