Rabu, 26 Januari 2011

Dilema Perasaan

Memang kadang-kadang sukar memahami hati sendiri apa lagi hati orang lain. Kita kekadang tidak mengerti mengapa perasaan sering menyimpan suasana aneh dalam keadaan yang tidak munasabah. Sewaktu langkah kita semakin perlahan hati kita berlari laju mengiringi situasi. Sedangkan kita sebenarnya tidak seharusnya terlibat dengan perasaan yang tidak mampu kita kejar bila berlaku pertemuan dua hati yang satunya masih kehijauan dan terjadi saling sangat memerlukan.


Namun perasaan tidak mudah untuk dipujuk diam. Kehendaknya mudah dituruti. Kekosongannya sentiasa dahagakan pengisian untuk mencerna kebatinan yang diperlukan dalam episod kasih siri pertama yang belum tamat. Apa lagi pertemuan selari dengan kemahuan maka terjadilah silangkata pada awalnya. Keemudian ada jawapan dan akhirnya terperangkap dalam dunia yang pernah dilalui dulu. Serba salah, dilema dan ketakutan sering menyerang lubuk jiwa membuatkan keinsafan dan harapan meneruskan silih berlumba-lumba. Setelah terjerumus barulah sedar sukarnya keluar. Apatah lagi bila telah melangkah melepasi batasan...


Hendak ditelan mati mak hendak diluah mati bapak.....tersekat di kerongkong...

Sabtu, 15 Januari 2011

Biarlah kekal...

Sejak masuk tahun 2011 ini, inilah baru aku ada peluang untuk menulis. Sejak akhir-akhir ini memang sibuk dengan pelbagai kerja 'volunteer'. Minggu ketiga Januari 2011 ini ada Seminar yang mana aku terlibat secara langsung. Jadi peluang untuk mengemaskini blog semakin kurang tetapi ku cuba juga hari ini kerana kurasa aku juga semakin jauh dengan blog ini.

Namun aku sentiasa membuka blog ini untuk membaca catatan lama bagi mengembalikan ingatan tentang beberapa perkara.

Beberapa hari terkebelakang, pelbagai dilema kuhadapi yang memaksa aku mendiamkan diri dari segala perhubungan intim kecuali dengan tersayang di rumah. Ku cuba memaksa diri hilang dari ingatan sesiapa yang pernah menyayangiku (kecuali keluarga) supaya yang mengharap tidak terus kecewa dan aku sendiri tidak tersiksa jiwa memendam rasa. Biarlah berlalu dengan untaian hari yang semakin mengungsi ke hujung usia...

Hari-hari yang mendatang akan kucuba mengisi dengan manfaat yang nyata supaya ada jua yang dapat dimanfaatkan. Hal-hal yang bagai bayang biarkan jadi kenangan terindah bukan melukakan. Pesan ulamak, berhentilah makan sebelum kenyang maka aku berhenti ketika orang masih memerlukan supaya tidak kecewa ditinggalkan atau meninggalkan.....

Maknanya kasih sayang dan perasaan rindu biarlah kekal sentiasa walaupun ada yang merasakan terkecewa padahal dia lupa inilah sebenarnya pengorbanan.....