Rabu, 10 Disember 2008

Ilmu Pengasih


Ilmu Pengasih! Saya rasa ramai yang tahu apa itu ilmu pengasih. Saya tidak mahu membincangkan definisi ilmu pengasih dalam bicara ini. Cuma saya ingin berkongsi pengalaman tentangnya.

Dulu, sebelum berkeluarga, saya sangat gemar mencari ilmu pengasih. Maklumlah rupa tiada, harta pun kurang, jadi, kononnya dengan ilmu pengasih dapatlah kita memikat dara pujaan. Setiap kali jumpa orang tua, saya pasti berbisik meminta diajarkan ilmu pengasih. Macam-macam ayat yang diajarkan oleh beberapa orang tua. Ada menggunakan ayat al-Quran sepenuhnya. Ada ayat al-Quran dicampurkan dengan jampi serapah. Ada jampi serapah sepenuhnya dan ada juga dalam bentuk pantun bahkan ada dalam bahasa daerah atau Jawa.(Cuma bahasa omputeh je tak pernah diajarkan...)

Cara menggunakan ilmu pengasih juga berbeza. Ada dibaca ketika bertentang mata, ada ketika lalu depan rumah, ada ketika hendak tidur sambil tepuk bantal, ada dibaca sambil menghembuskan asap rokok, ada dibaca pada sireh, ada dibaca ketika menghadap cermin, memakai baju, ketika mandi dan ada dibaca pada bunga, pada air, pada beras, nasi dan sebagainya. Pada masa itu saya tidak terfikir tentang syirik atau khurafat. Maklumlah tengah 'rock'.

Pada awalnya saya merasakan setiap ayat yang saya amalkan memberi kesan yang hebat. (Tak perlulah saya ceritakan kesannya di dalam blog terbuka ini). Saya yakin dan percaya sepenuhnya. Tetapi selepas beberapa bulan, saya rasakan ilmu yang saya amalkan mula hilang 'power'nya kerana orang yang saya rasa hendakkan saya tidak menampakkan ciri-ciri dia hendakkan saya lagi. Lalu saya amalkan ilmu yang lain pula.... Namun begitulah berulang jadi seterusnya.....

Kemudian, setelah saya semakin dewasa dan dikira matang, saya mula memikirkan dan mengkaji sendirian ilmu-ilmu yang saya pelajari yang mana saya tulis dalam sebuah buku kecil. Pada hemat saya, semua ayat-ayat jampi (kecuali ayat al-Quran) itu, saya sendiri pun boleh mereka cipta ayat pengasih.

Tengok contoh jampi ini yang saya perolehi dari seorang bidan kampung:- Hey cahaya kersani, mu hias muka aku untuk (si anu). Kalau (si anu) tengok muka aku seperti anak jembor ibu dengan berkat kata Lailahailallah...(Jembor tu dalam bahasa Kelantan maknanya terkam).

Pada zaman dahulu mungkin ayat jampi ini sangat mujarab. Saya tidak tahu sejauh mana mujarabnya tetapi bidan itu menceritakan seorang wanita pada suatu ketika sebelum Jepun membaca ayat ini untuk lelaki idamannya. Betapa kuatnya jampi itu yang dibaca waktu siang hari, pada malamnya lelaki itu datang dengan segalas pakaian merayu di tangga rumah wanita itu untuk tinggal bersama (kahwin) dengannya.Entahlah, sukar untuk percaya pada zaman moden ini.

Begitulah beberapa catatan tentang ilmu pengasih untuk kali ini.... Pada lain kali saya akan bicara sambungannya.....

*AMARAN: DILARANG MENGAMALKAN JAMPI YANG DIJADIKAN CONTOH DALAM BICARA INI. PENULIS TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB JIKA TERJADI SEBARANG PERKARA BIDAAH, SYIRIK, KHURAFAT DAN SEBAGAINYA TERHADAP PENGAMAL HARAM.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hem...walau apapun, ilmu pengasih ni tetap TIDAK digalakkan TETAPI dianjurkan berikhtiar mengikut cara2 Islam dengan enggunaan ayat Quran yang sememangnya tidak menyimpang dan jauh dari syirik.
lagipun, ilmu pengasih tidak akan kekal kemana..bersifat sementara sahaja.
yang penting, pastikan dalaman dan luaran diri kita dibajai dengan rasa kecintaan pada agama, taat pada suruhanNya..amal makruf nahi mungkar, insyaAllah..itulah tali yang menjadi pengikat kasih antara kita dan pasangan.
sewaktu kita di alam roh, kita sebenarnya telah diketemukan dengan jodoh kita..tak kira pasangan kita tu 10 tahun tua usianya dari kita. bila lahir ke dua, lambat atau cepat, kita akan diketemukan walau sejuta rintangan menghalang tapi kalau memang kita ni dah ditemukan di azali, kita akan tetap bersatu dengan pasangan kita.
pernah tak terfikir..ada di antara OKU yang cacat anggota..telah bertemu jodoh dengan pasangannya yang 10 tahun lebih tua darinya..sedangkan di gadis itu, tidak pernah menjejakkan kakinya ke luar rumah kerana sakit sejak di usia bayi. dengan berkat jodoh, mereka disatukan pada usia si gadis 21 tahun. sedangkan ramai lagi insan sempurna di luar sana yang bermasaalah dalam mencari pasangan mereka setelah berikhtiar...
ITULAH RAHSI JODOH.....
wallahhua'lam...

eddie berkata...

عَنْ عَوْفِ ابْنِ مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ قَالَ كُنَّا نَرْقِي فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَرَى فِي ذَلِكَ فَقَالَ اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ لَا بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ
Ertinya : Daripada ‘Auf Bin Malik Al-Ashja’ie , beliau berkata : “ Kami semasa zaman jahiliyyah dahulu biasa melakukan jampi-mentera , lalu kami bertanya kepada Baginda s.a.w : Wahai Rasulullah ! Apakah pendapat tuan di dalam masalah ini ? . Maka Baginda s.a.w pun bersabda : Perlihatkan kepadaku jampi-menteramu itu, maka selagi ianya tidak mengandungi syirik , maka tidaklah mengapa ! “. ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim rh ( Kitab As-Salam : 4079 ) & Imam Abu Daud rh ( Kitab At-Tib : 3388)