Selasa, 21 Disember 2010

cukup sampai di sini...

Kekecewaan dari sebuah pengharapan palsu yang tidak pernah ada kepastian. Membiarkan sesaorang mengharap dengan janji-janji yang tidak ada kesahihan ibarat menanti kucing bertanduk. Akhirnya diri tersiksa dan terkongkong dengan janji-janji yang 'masih dalam laut.' Apa lagi hidup dalam ruang berduri dan penuh kebencian maka jangan biarkan diri diikat dengan rantai yang tidak nampak di mata tetapi menyakitkan hati.

Tidak ada gunanya melayan imiginasi yang cuma nyata di alam mimpi di siang hari. Perlu kembali kepada realiti yang pasti dan tidak menyusahkan dan tidak pula 'meniti mata pedang'. Jika menyuburkan harapan dengan bicara manis yang boleh dipertikaikan kebenarannya, usah mengharap hati insan yang sentiasa berfikir menyimpan keyakinan. Jika diri melakukan kesilapan-kesilapan yang berulang-ulang dan sering diperingatkan kemudian beralaskan lupa atau bertindak ubah dengan tidak ikhlas hati, panas baran serta melepaskan perasaan yang berlawanan dengan tindakan hakiki, maka jelas kesefahaman tidak mungkin berlaku.

Jangan fikir kesetiaan kerana cinta membuta tuli bagi yang berfikir. Jangan ingat kerana cinta sesaorang sanggup menggadai kebahagiaannya bagi yang memandang masa depan. Kecantikan, kemanisan bicara, kebaikan budi yang tidak ikhlas, cinta yang nampak sejati tetapi tidak berani menghadapi kerusuhan situasi, tidak mungkin dapat mengekalkan kepercayaan seorang lelaki yang sentiasa memerhati dan berfikir.

Lelaki itulah aku.