Sabtu, 24 Julai 2010

Cinta 4 Segi


Cinta tiga segi memang lazim kita dengar dan lihat. Tetapi cinta empat segi agak jarang-jarang atau mungkin tidak pernah kita dengar. Kalau cinta tiga segi selalunya melibatkan dua wanita / dua lelaki seorang lelaki / seorang wanita. Apa yang berlaku kepada kawan saya ialah dia terlibat menyintai 3 orang wanita termasuk isterinya. Dua wanita lagi hadir dengan keadaan terhalang dan terlarang.

Hendak dibuang mati emak, hendak diitelan silap haribulan dirinya sendiri kemungkinan mati. Hendak tidak hendak, terpaksalah berahsia dengan segala kekuatan yang ada. Selagi boleh rahsia, dia akan rahsiakan sampai mati.

Uniknya cinta ini. Tidak kira siapa yang dicintai. Bila sudah jatuh cinta semuanya indah. Buruk pun jadi cantik.

Saya nasihatkan kawan saya, jangan bermain api kerana api jika dalam sekam lambat laun akan membakar seluruh timbunan sekam. Kawan saya kata, dia terpaksa kerana menyayangi ketiga-tiga wanita tersebut dan wanita-wanita itu pula menyayanginya, apa lagi isterinya. Dia tidak sanggup berpisah dengan mana-mana wanita tersebut. Kalau dia mampu, dia ingin mengahwini mereka, sayangnya dia tidak mampu dari segi ekonomi.......

Saya katakan, jika sudah tahu sampan kecil, jangan mengharungi ombak di lautan luas, kelak karam tidak bernesan. Kawan saya kata, kesemua wanita itu sanggup hidup dengan seadanya....... saya kata semua orang sanggup apa saja sebelum kahwin, sudah kahwin baru macam-macam tuntutan. Dia kata, isterinya sekarang boleh hidup seadanya. Betul, kata saya sebab sekarang dia memiliki seorang saja isteri. Bila sudah tiga isteri tidak mustahil masing-masing saling iri hati dengan apa yang madu-madu dia ada. Lebih baik jangan, sambung saya lagi.

Sebab itu kawan saya kata dia merahsiakan segalanya.......Cukuplah manisnya bercinta...... Hmmmmhhh...Keluh saya.....

Jumaat, 4 Jun 2010

Sumbangan Untuk Masjid

Bersedekah adalah satu amalan yang dituntut dalam Islam. Sedekah yang baik akan meneruskan pahala kepada orang yang memberi sedekah walaupun beliau telah meninggal dunia seperti bersedekah kepada pembinaan masjid. Selagi masjid itu wujud dan digunakan untuk beribadat selagi itulah pahala mengalir kepadanya.

Ramai orang pergi ke masjid pada solat Jumaat tetapi agak menyedihkan apabila tidak ramai yang sudi bersedekah apabila AJK masjid menghulurkan tabung untuk memohon sumbangan. Memang sedekah tidak boleh dipaksa dan pemberiannya pula hendaklah dengan ikhlas barulah sedekah diterima dan diredhai oleh Allah s.w.t. Namun begitu, seminggu sekali apa salahnya menanam dalam diri untuk bersedekah kepada masjid. Sediakanlah RM1 seorang untuk setiap hari Jumaat.

Bayangkan jika setiap orang yang pergi ke masjid pada solat Jumaat menghulurkan sedekah RM1 seorang. bayangkan jika setiap sebuah masjid yang dapat menampung 300 orang. Bukankah sumbangan yang dikumpul hari itu berjumlah RM300? Bayangkan jika sebulan? Empat kali Jumaat x RM300 = RM1200. Bayangkan pula jika sebuah negeri mempunyai 100 buah masjid? RM1200 x 100 buah = RM120,000 jumlahnya sebulan.

Banyak yang boleh dibuat dengan duit sedekah itu. Contohnya untuk membayar bil letrik, air, telefon dan pengubahsuaian masjid.

Jadi, saya menyeru kepada diri saya dan diri umat Islam semua, marilah kita wajibkan diri kita untuk bersedekah setiap hari Jumaat kepada masjid di mukim kita. Jadikanlah ianya satu amalan dengan ikhlas dan rela demi pembangunan Islam. Insya Allah.....

Ahad, 30 Mei 2010

Kebahagiaan Dalam Perpisahan

Sesiapapun insan di dunia ini akan merasa sedih apabila berlakunya perpisahan. Namun ada juga perpisahan yang membawa kebahagiaan kepada sesaorang. Contoh mudah jika seorang isteri hidup tersiksa dengan suami yang jahat pasti gembira jika diceraikan.


Apa yang ingin saya utarakan dalam artikel ini ialah perpisahan kekasih. 


Seorang kekasih tidak akan mahu berpisah jika terlalu menyintai pasangannya. Pendek kata setiap masa ingin bersama. Sedetik pun tidak hendak berpisah. Walaubagaimanapun jika percintaan membawa kesengsaraan jiwa dan batin lebih baik berpisah saja. Apa guna bercinta jika pertemuan belum tentu bahkan sentiasa ditentang oleh semua orang....


Percintaan rahsia yang penuh curiga dan kesumat saudara mara adalah tidak berbaloi untuk diteruskan. Percintaan begini adalah lebih baik ditamatkan. Perpisahan perlu dan perpisahan beginilah sebenarnya kebahagiaan yang akan dikecapi. 


Mereka kata walaupun tidak dapat bersama, cukuplah bercinta kerana bercinta dengan pasangannya membawa kebahagiaan. Bahagiakah jika terpaksa hidup dalam kebimbangan dan bercinta serta bertemu dengan cara sembunyi-sembunyi? Silap haribulan tersilap langkah, padah akhirnya....ini bukan bahagia tetapi sengsara cinta...


Pada awalnya perpisahan mungkin pahit tetapi perlu diingat bahawa pahit itu sebenarnya ubat yang paling baik. Jangan terpengaruh dengan rayuan pasangan yang tidak cuba memahami kebahagiaan dalam perpisahan. Pasangannya mungkin merayu tidak mahu berpisah kerana masih menaruh harapan tetapi kita ada akal dan teori sejarah yang boleh dijadikan panduan. Menolak ombak adalah kerja sia-sia. Mengharap sesuatu yang mustahil hanyalah angan-angan kerana mengikut nafsu. Kita perlu hadirkan diri dalam realiti....Jika kita sudah ada kebahagiaan jangan cuba cari kebahagiaan yang belum tentu yang hanya bersandarkan mimpi dan cinta kononnya. Cinta bukanlah mutlak menentukan kebahagiaan kerana banyak lagi rempah rencah yang memungkinkan kebahagiaan. Jangan kata harta bukan segala-galanya. Betul, harta bukan segalanya tetapi orang tidak akan bahagia hidup dalam kemiskinan kecuali insan zuhud.


Turut hati mati, turut rasa binasa dan turut nafsu lesu. Pepatah ini patut dihayati.


Oleh yang demikian jika percintaan tidak ada kesudahannya...lebih baik solat hajat dan istikharah untuk minta petunjuk kerana kadang-kadang, hilang manis ganti madu......bukankah lebih baik?


Maka berpisahlah untuk mencari kebahagiaan hakiki....

Jumaat, 21 Mei 2010

Pekerja Tanpa Upah.

Mungkin ramai merasakan bahawa adalah sesuatu yang bodoh apabila melakukan kerja tanpa ada imbuhan upah. Jarang orang hendak melakukan kerja tanpa gaji tetapi sesetengah orang apabila melakukan kerja dia tidak mengharapkan upah bahkan tidak mahu dibayar apa-apa. Baginya apabila kerjanya berjaya dilaksanakan, itu adalah satu kepuasan baginya. Yang penting puas!!

Sebagai contoh kerja hal-hal kebajikan seperti menolong orang yang dalam kesusahan dan yang memerlukan. Contoh lain ialah kerja sukarela dalam persatuan kebajikan. Jawatan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan lain-lain jawatan adalah kerja sukarela tanpa upah. Orang yang suka menjawat jawatan begini adalah orang yang suka kerja tanpa upah.

Kepuasan adalah keutamaan dalam diri orang yang suka kerja kebajikan. Keihklasan juga penting agar tidak ada udang di sebalik batu...Sesaorang akan merasa puas dan gembira apabila melakukan kerja sukarela jika beliau salah seorang Pekerja Tanpa Upah. Melakukan kerja dengan harapan mendapat pujian pun bukanlah termasuk dalam kategori kerja tanpa upah. Apatah lagi membuat kerja sukarela, memegang jawatan persatuan tetapi di sudut hatinya mengharapkan sesuatu. Contohnya ahli politik yang menjawat jawatan sukarela dengan mengharapkan pengundi percaya beliau adalah seorang yang prihatin. Ini juga bukan kategori    tajuk artikel ini.

Selain sifat yang suka menolong orang, Pekerja Tanpa upah sentiasa mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Hanya Allah yang tahu keikhlasan dalam hati mereka....dan pasti ganjaran menanti di akhirat....

Ahad, 25 April 2010

Mencintai Sesaorang sangat unik?


Mencintai sesaorang bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya sangat indah dan bernilai. Mencintai sesaorang terlarang juga sesuatu yang indah walaupun anggapan orang lain sangat keji. Jika tidak berlaku ke atas diri sendiri, kita tidak akan tahu. Namun tidaklah patut mengeji keterlaluan jika ianya berlaku ke atas orang lain kerana kita tidak tahu apa akan berlaku di masa depan. Mungkin apa yang kita keji itu, suatu ketika mungkin kita sendiri akan buat.

( Saya lupa sama ada ianya hadis atau pesan pujangga...Bunyinya lebih kurang begini: Janganlah kamu melampau mengutuk sesaorang yang melakukan kesilapan kerana tidak akan mati sesaorang yang mengutuk itu selagi dia sendiri tidak melakukan kesilapan itu.)

Berbalik kepada mencintai sesaorang terlarang. Cinta memang tidak mengenal siapa. Cinta itu kononnya unik. Kadang-kadang kita tidak tahu mengapa kita mencintai sesaorang itu. Hendak kata kerana rupa, taklah cantik sangat, kadang-kadang yang sudah ada jauh lebih menawan, kalau kerana harta, tidak ada apapun, kalau kerana budi bahasa, kadang-kadang lebih teruk dari yang sedia ada. Jadi tidak dapat dihuraikan apakah yang menyebabkan cinta itu berputik kecuali kebarangkalian adakah sebenarnya kerana nafsu?. 

Untuk mengatakan ianya kerana nafsu tidaklah tepat 100% kerana mendalamnya cinta sangat hebat. Sekadar mendengar suara pun sudah memadai. Bahkan sekadar melihat tangga rumah pun sudah merungkaikan rindu yang terbuku dikalbu.....dan adakah kekuatan itu semua yang meronta-rontakan hati untuk bertemu dan seterusnya.....memadu asmara? Maka berlakulah pembalasan dendam....

Apapun, cinta itu sangat unik. Dia tidak mengenal tua muda, terlarang atau tidak, atau cantik atau buruk. Apabila terpikat sahaja, segalanya indah walaupun ianya barah yang parah akhirnya......

Cuma sesekali ketika sendirian renungi seketika.....benarkah cinta ini sesuci embun di waktu pagi? Atau ianya nampak ikhlas dari hati nurani yang murni yang penuh keajaiban tetapi sebenarnya itulah muslihat sang iblis laknatullah mencantikkan permulaannya meskipun terlarang kemudian memacu ke lembah kekufuran?