Selasa, 7 Jun 2011

Memahami Perasaan Pasangan.

Memahami perasaan pasangan bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah. Ramai orang berfikir bahawa memberi pasangan kemewahan zahir dan batin sama ada wang, makanan, pelukan, ciuman dan sebagainya itu sudah cukup menyatakan ia sangat sayang pada pasangannya. Sebenarnya tanggapan itu silap kerana ada berlaku kes satu pasangan yang memiliki segala kemewahan dan kehebatan cinta akhirnya kandas di pertengahan jalan.
Memberi segala keperluan bukan bermakna kita memahami perasaannya. Memahami perasaan dan mencurahkan kasih sayang adalah dua perkara yang berbeza. Ada orang yang cukup segala harta, cukup segala keperluan batinnya tetapi tetap memberontak menyatakan ketidakpuasan hatinya. Jika bukan kepada pasangannya, dia akan menyatakan kepada orang lain yang rapat dengannya. Sebab itu walaupun ada yang hidup dalam kedhaifan tetapi tetap hidup rukun damai. Ini kerana pasangan itu saling memahami dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.
Di sebalik apa yang kita katakan curahan kasih sayang, kita perlu memahami perasaan dan naluri serta kehendak sebenar pasangan. Dan sebenarnya pasangan itu juga kadang-kadang tidak tahu apa yang dia mahu tetapi dia merasa ada yang tidak lengkap walaupun sudah dipenuhi segala tuntutan. Di sinilah setiap pasangan perlu membuang perasaan egoistik, ‘selfish’, menyelami perasaan dan menjadi pasangan seketika. Kadang-kadang kita hanya mengetahui kehendak pasangan apabila kita mengikut jejak langkahnya. Maka kita perlu jadi diri pasangan untuk memahami tuntutannya yang sebenar.
Kalau kita lelaki, kita perlu memiliki hati wanita seketika untuk memahami perasaan atau kehendaknya dan begitulah sebaliknya.
Tidak kiralah sebagai pasangan kekasih, suami isteri atau ahli keluarga. Pokoknya memahami isi hatinya termasuk kehendak batinnya.
….Dan ketika kita mengetahuinya, adakala kita terpaksa berkorban.. Sanggupkah kita berkorban meninggalkan pasangan jika itu yang boleh membahagiakannya???

Tiada ulasan: