Rabu, 4 November 2009

Nilai Pembaziran....

Ada orang memberitahu saya bahawa untuk menilai tahap keakraban atau jumlah syaitan yang berdampingan dengan manusia adalah dengan melihat sebanyak mana pembazirannya. Makin banyak pembaziran yang dilakukan semakin bertambah kawan-kawannya dari golongan syaitan.

Suatu ketika saya pergi ke rumah kawan saya. Di rumahnya dia menghidang teh susu dan biskut. Saya memang kurang gemar dengan teh susu sebab dahulu ada Tukang Ubat kaki lima memberitahu teh susu boleh menawarkan ubat yang kita makan. Jadi saya minum separuh saja. Selepas berbual seketika saya memohon diri. Tiba-tiba kawan saya berkata, "Li, kau ada bela hantu raya yea??"

Saya terkejut dan bertanya, "kenapa kau kata gitu Mid?"

"Arwah datuk aku cakap, kalau sesaorang itu makan atau minum tidak habis, maknanya dia menyimpan baki makanannya itu kepada hantu belaannya atau sahabatnya iaitu syaitan." Jawab kawan saya yang berasal dari Perak itu dengan serius.

Terkedu aku dengan jawapannya. Lantas aku segera menghabiskan baki teh susu itu. Kawan saya menepuk bahu dan berkata lagi, "kan ada hadis, orang yang suka membazir itu saudara syaitan..."

Sepanjang perjalanan pulang saya teringat cerita-cerita orang tua bahawa jika sesaorang itu membela hantu raya, pelesit, atau jin atau sebarang belaan makhluk halus. dia mesti menjamu mereka itu dengan makanan-makanan tertentu. Contohnya darah, ayam panggang, berteh (beras goreng) dan sebagainya. Jika tidak makhluk belaannya akan meracau.

Saya fikir betul juga kawan saya cakap tadi bahawa tahap keakraban atau jumlah syaitan yang mendampingi kita perlu dinilai sebanyak mana kita melakukan pembaziran makanan setiap hari......Wallahu 'alam.

Tiada ulasan: