Ahad, 22 November 2009

Menghargai Pemberian....


Suatu awal senja, saya didatangi seorang kawan lama iaitu R. Lama saya tidak bertemu dengannya selepas sama-sama menyertai Kem Keluarga tahun 2006. R begitu ceria tetapi makin lama berbual, saya dapat mengesani perasaan hatinya. Saya cuba mencungkil beberapa peristiwa lampau dan tanpa masalah R terus meluahkan seolah-olah itulah tujuannya hadir ke teratak saya.



Kata R, selepas Kem Keluarga 2006, dia jatuh cinta dengan salah seorang peserta program iaitu P. Percintaan mereka berjalan hampir enam bulan sehinggalah P dihalang oleh keluarganya atas sebab-sebab tertentu.


R kata lagi, dia sangat menyintai dan menyayangi P dan demikian juga P. Tetapi kerana keluarga, R dan P berpisah juga secara fizikal tetapi hati masih tidak berubah. Walau bagaimanapun, R terasa sangat kecewa dan kecil hati.kerana segala pemberiannya telah dimusnahkan oleh P atas alasan dipaksa oleh keluarganya sedangkan R terus menyimpan segala pemberian dan kenangan dengan sebaik-baiknya kerana R yakin hubungan kasih itu akan ada kesinambungan.


Selepas hampir dua tahun berlalu, tetiba cinta itu benar bersambung semula menerusi suatu pertemuan yang tidak disengajakan. Bunga-bunga cinta berkembang semula. Namun suatu malam, R berkata ketika dia membuka sebuah beg lama, dia terjumpa beberapa barang yang hampir sama dengan pemberiannya kepada P. Saat itu R jadi murung memikirkan kesanggupan P memusnahkan semua pemberiannya selepas cinta terhalang oleh ugutan keluarga. Sedangkan pemberian itu sangat besar maknannya pada R. R merasakan jika P benar-benar kasihkannya, dia tidak sepatutnya musnahkan semua pemberiannya. Dia perlu menghargai pemberian dari seorang yang sangat dicintainya. Namun tidak untuk P. Dia lupuskan semua kenangan walaupun kata P kenangan dalam mindanya tidak pernah luput. Tetapi hati R sangat kecewa dengan tindakan P.


Jadi bila terkenangkan tindakan P itu, hatinya secara mendadak mulai pudar dan terus pudar. Dia cuba jadikan P sebagai kawannya tetapi gagal kerana baginya bekas kekasih tidak boleh jadi kawan melainkan kekasih juga…..


Saya yang mendengar cerita itu terfikir juga bahawa hati lelaki juga sangat sensitif. Menghargai pemberian sama juga menghargai orangnya. Bayangkan bagaimana perasaan hati orang yang memberi jika kita membuang pemberiannya dengan alasan yang boleh dielakkan. Contohnya jiran memberi kita kueh, katakan kueh itu tidak sedap lalu kita membuangnya di halaman rumahnya. BAYANGKAN……!!


Moral cerita R dan P ini ialah:- Hargailah pemberian setiap insan. Mengikut riwayat yang pernah saya dengar (kalau silap riwayat sila tegur), Nabi Muhammad s.a.w pernah diberi beberapa buah limau yang sangat masam oleh musuhnya yang ingin menduga tentang peribadi Rasulullah. Baginda memakan kesemua buah limau itu sambil tersenyum di hadapan orang yang memberi dan sahabat Rasulullah. Tujuan baginda Rasulullah makan sambil tersenyum ialah untuk tidak mengecilkan hati musuhnya. Jika dia mengerutkan kening ketika makan kerana buah yang masam, pasti musuhnya akan kecil hati…..Baginda juga makan kesemua limau itu tanpa memberi kepada sahabat-sahabatnya bimbang kalau-kalau sahabatnya tidak boleh tahan dengan kemasanan buah limau itu dan menunjukkan reaksi kurang menyenangkan kepada pemberi buah…. Itu musuh tu… Maknanya musuhpun kita kena hargai pemberiannya… apa lagi pemberian kekasih…..!!!

Tiada ulasan: