Jumaat, 24 Jun 2011

Memahami Hati seseorang

Hati adalah seketul darah kental yang dijadikan Allah dengan fungsi yang sangat unik. Melalui hati, sesaorang sama ada lelaki atau perempuan dapat membahagiakan dirinya atau orang lain. Begitu juga sama ada menderitakan dirinya atau orang lain. Hanya pilihan yang terbit di hati akan menghasilkan suatu keputusan yang besar maknanya.

Jika kita hanya mementingkan diri sendiri, kita tidak akan pandai mengambil hati orang lain. Jika kita terlalu banyak mengambil hati orang lain kita mempunyai agenda tersendiri. Pendek kata rahsia hati hanya kita sendiri yang tahu. Ada setengah orang kata, Iblis boleh mengetahui niat dan  isi hati kita tetapi malaikat tidak boleh kerana sebelum manusia dimasukkan roh, Iblis telah masuk menjelajah ke dalam tubuh manusia untuk mengetahui rahsia kejadian insan. (Allah s.w.t memang Maha Mengetahui segalanya).

Dalam bab memahami hati sesaorang, ada pelbagai cara dan rasa. Saya ingin menfokuskan wanita sahaja. Ada setengah wanita suka berkongsi masalah sehingga ada orang akan mengambil kesempatan di atas masalah itu. Ada setengah wanita pula suka memendam rasa sehingga merisaukan orang di sampingnya. Ada yang membengkak di dalam hati tetapi hanya mampu meratap sendiri segala masalah dan dilema. 

Ada segolongan wanita, berkongsi masalah dengan tulisan bukan dengan kata-kata. Misalnya sekarang, untuk meluahkan sesuatu hanya dengan menaip sms. Mungkin ini cara yang lebih berkesan kerana curahan hati menerusi tulisan akan sentiasa diulang baca. Seorang yang ditujukan mungkin dapat memikirkan pelbagai andaian di atas mesej yang disampaikan. Namun ada juga yang tidak mengambil peduli di atas luahan apa saja media kerana mempunyai egoistik dan individualistik yang tinggi.

Jangan fikir orang yang suka mencurah perasaan dengan sms atau tulisan seorang yang tidak berani berhadapan dengan kenyataan atau pengecut. Ia sebenarnya untuk menjaga kekeruhan dan juga seorang yang membuat pilihan yang bijak untuk membincang dengan orang yang tidak suka membincang. 

Cuma dikatakan tidak bijak jika menghantar sms kepada seorang yang tidak boleh membaca.....

Ahad, 12 Jun 2011

Virus Cinta

Berhati-hati dengan virus cinta. Virus dalam komputer memang bahaya tetapi dia hanya merosakkan komputer itu sahaja atau satu dua komputer yang ada hubungan dengannya. Tetapi virus cinta akan merosakkan seluruh masa depan manusia.
Ada beberapa jenis virus cinta yang dapat saya kesan dalam kehidupan seharian ini. Lalu saya memberi beberapa nama sebagaimana berikut:

Virus Munafik – Jika ada virus ini dalam diri sesaorang, dia sentiasa berbohong tentang cintanya, tidak kiralah sama ada berbohong kononnya dia masih bujang, dia masih dara, dia mencintai dengan seikhlas hati, dia kaya, dia sakit jantung atau sebagainya namun hakikatnya dia berpura-pura sahaja kerana maksud tertentu.

Virus keranjang – Kalau ada virus ini, sesaorang itu tidak akan setia pada yang satu. Lepas seorang-seorang kekasihnya. Boleh dibuat koleksi suatu hari nanti.

Virus laknat – Virus ini menyebabkan sesaorang itu melakukan perbuatan terkutuk sama ada zina, atau sebagainya semasa dalam percintaan sebelum kahwin.

Jangan ada tiga virus ini. Kalau ada dan pernah dijangkiti virus ini, kalau tidak beri anti virus yang betul, akan menyesal seumur hidup. Jadi, oleh kerana untuk mendapatkan anti-virus cinta yang betul sangat sulit, maka lebih baik jangan dijangkiti virus ini. Untuk tidak dijangkiti virus-virus ini, bagaikan komputer, jangan disambungkan dengan komputer lain, jangan guna internet sesuka hati dan jangan masukkan apa-apa media seperti pendrive, CD, card rider dan lain-lain yang ada virus cinta.
Guna dan jagailah satu komputer sahaja dalam hidupmu….

Selasa, 7 Jun 2011

Memahami Perasaan Pasangan.

Memahami perasaan pasangan bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah. Ramai orang berfikir bahawa memberi pasangan kemewahan zahir dan batin sama ada wang, makanan, pelukan, ciuman dan sebagainya itu sudah cukup menyatakan ia sangat sayang pada pasangannya. Sebenarnya tanggapan itu silap kerana ada berlaku kes satu pasangan yang memiliki segala kemewahan dan kehebatan cinta akhirnya kandas di pertengahan jalan.
Memberi segala keperluan bukan bermakna kita memahami perasaannya. Memahami perasaan dan mencurahkan kasih sayang adalah dua perkara yang berbeza. Ada orang yang cukup segala harta, cukup segala keperluan batinnya tetapi tetap memberontak menyatakan ketidakpuasan hatinya. Jika bukan kepada pasangannya, dia akan menyatakan kepada orang lain yang rapat dengannya. Sebab itu walaupun ada yang hidup dalam kedhaifan tetapi tetap hidup rukun damai. Ini kerana pasangan itu saling memahami dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.
Di sebalik apa yang kita katakan curahan kasih sayang, kita perlu memahami perasaan dan naluri serta kehendak sebenar pasangan. Dan sebenarnya pasangan itu juga kadang-kadang tidak tahu apa yang dia mahu tetapi dia merasa ada yang tidak lengkap walaupun sudah dipenuhi segala tuntutan. Di sinilah setiap pasangan perlu membuang perasaan egoistik, ‘selfish’, menyelami perasaan dan menjadi pasangan seketika. Kadang-kadang kita hanya mengetahui kehendak pasangan apabila kita mengikut jejak langkahnya. Maka kita perlu jadi diri pasangan untuk memahami tuntutannya yang sebenar.
Kalau kita lelaki, kita perlu memiliki hati wanita seketika untuk memahami perasaan atau kehendaknya dan begitulah sebaliknya.
Tidak kiralah sebagai pasangan kekasih, suami isteri atau ahli keluarga. Pokoknya memahami isi hatinya termasuk kehendak batinnya.
….Dan ketika kita mengetahuinya, adakala kita terpaksa berkorban.. Sanggupkah kita berkorban meninggalkan pasangan jika itu yang boleh membahagiakannya???