Khamis, 3 November 2011

Hari Raya Qurban


HARI RAYA AIDILADHA dikenali juga sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban dan ianya merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah.
Hari Raya Haji dikenali kerana pada ketika itu ramai umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima iaitu Menunaikan Haji di Baitullah dan dikenali pula sebagai Hari Raya Qurban kerana pada hari-hari tersebut umat Islam menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu atau kambing untuk diberi kepada orang-orang miskin disegenap pelusuk dunia.
Ibadat Qurban adalah sunat diamalkan sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang telah mengorbankan anak baginda, Nabi Ismail a.s kerana menuruti perintah Allah s.w.t. Walaupun akhirnya Nabi Ismail digantikan dengan seekor kibas, tetapi kesanggupan dan kepatuhan Nabi Ibrahim dengan arahan Allah sangatlah besar yang tiada tandingannya.
Kesan-kesan pengorbanan ini sepatutnya kita terapkan dalam kehidupan supaya kita tidak loket dengan pemberian Allah s.w.t. Banyak fadilat dan kelebihan berkorban antaranya:
1.    Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.
2.   Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
3.   Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat.
4.   Bulu-bulu binatang yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.
5.   Mewujudkan suasana kerjasama dan ikatan silatulrahim sesama umat Islam.
Walau bagaimanapun banyak pengorbanan salah digunakan, contohnya, seorang gadis sanggup berkorban jiwa dan raga sebagai tanda kesetiaan tidak berbelah bagi.
Selain itu, ada yang sanggup berkorban untuk kawan-kawan demi membuat kerja-kerja kotor seperti mencuri dan sebagainya.
Pendek kata, pengorbanan yang hakiki ialah berkorban kerana Allah. Menjalankan ibadat Qurban jika semata-mata untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia mampu, tidak kedekut dan sebagainya tidak akan mendapat apa-apa fadilat Qurban kecuali balasan dosa juga akhirnya….

"SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA - MAAF ZAHIR BATIN"

Tiada ulasan: