Jumaat, 11 September 2009

Taksub Kepada Bomoh

Seorang kawan (Z) bercerita, dia dituduh mengilmukan isteri kawannya K. Cerita bermula apabila isteri K yang juga kawan kepada isteri Z bekerja di syarikat Z.Oleh kerana selalu balik lewat dan malam-malam bertalipon, K jadi cemburu. K mula curiga dan dalam senyap-seyap dia bertemu seorang bomoh di utara Kelantan. Entah macamana cerita, bomoh itu menujum mengatakan isteri K terkena ilmu Z semasa mereka out station di Pulau Pinang. Kononnya Z menggunakan ilmu tiup ke muka. Maka kononnya isteri K pun tergila-gilakan Z.

Tetapi walaupun bomoh itu memberi minum air jampi dan sebagainya isteri K tetap tidak berubah sentiasa sibuk dengan tugasnya di syarikat Z. Isteri K tetap tidak mahu berhenti kerja walaupun K memaksanya. K terus berusaha mencari bomoh lain sehinggalah mencecah dua puluh orang. Yang peliknya, kalau Tok Alim atau Tok Lebai kata isteri K bukan terkena buatan orang tetapi memang perangai isterinya, K tidak mempercayainya tetapi jika ada bomoh khurafat berkata dibuat orang dia terus percaya dan menuduh kawannya Z.

Bukan setakat itu sahaja, K membawa cerita kepada semua kaum keluarga dan kawan-kawannya bahawa Z mengilmukan isterinya. Habis keluarganya mengancam hendak membelasah Z. Bahkan bapa K cuba merempuh Z ketika bertemu di masjid. Mujur tidak terjadi kes.

Z kata kalau betul dia ada ilmu boleh membuat orang gilakan dia, dia tidak akan ilmukan isteri K yang sudah mempunyai 8 orang anak itu. Kalau betul dia ada dia akan ilmukan anak dara......

Isteri K tidak juga berubah walaupun dah berpuluh bomoh ditemuinya. K semakin taksub kepada bomoh. Sebut saja ada bomoh dia akan jumpa walaupun habis beratus ringgit. Isteri K kata kenapa suaminya tidak minta bomoh-bomoh yang dia jumpa itu membuat pembenci supaya dia membenci kepada Z dan tidak bekerja di situ lagi. Dia bekerja kerana ada alasan tersendiri.

Walau bagaimanapun untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku berikutan K sendiri mengancam Z, maka Z memberi cuti tanpa gaji kepada isteri K untuk meredakan keadaan. Namun begitu, K sentiasa mengancam Z. Hubungan persahabatan sudah putus......

(Cerita ini banyak yang boleh dipersoalkan.........................)

Tiada ulasan: