Tidak ada siapa di dalam dunia ini mahukan kekurangan pada dirinya. Namun begitu tidak seorang pun yang sempurna seratus peratus. Mahu tidak mahu setiap orang mesti akur dengan pemberian Allah s.w.t.
Orang Kurang Upaya (OKU) telah ditakdirkan mempunyai kekurangan. Ada yang menerima qada tuhan sejak lahir dan ada juga menerima takdir menerusi kemalangan atau penyakit setelah menjalani manusia normal seketika. Justeru itu ramai antara mereka merasa kecewa dan kadang-kadang menyalahkan takdir di atas nasib yang menimpa.
Hanya satu yang dapat mengubati perasaan itu iaitu dengan mengambil iktibar pada setiap kejadian Pencipta. Mungkin jika kita tidak cacat, kita akan menjadi orang yang menyimpang daripada jalan kebaikan. Bersyukur dengan setiap pemberian Allah s.w.t. adalah sebaik-baik tindakan.
Sebagai OKU, sikap dan naluri mestilah positif dalam menilai orang ramai dan diri sendiri. Lumrahnya OKU sering merasa rendah diri atau hina kerana keadaannya yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Sebenarnya kita sendiri yang menghinakan diri kita kerana menjadikan kecacatan sumber menagih simpati, bergantung seratus peratus kepada orang dan alasan untuk tidak perlu berusaha. Mungkin peluang kita agak terbatas tetapi pihak-pihak tertentu terutamanya kerajaan boleh membuatkan kita berjaya, asalkan kita beriltizam. Bak kata pepatah, hendak serbu daya, tak hendak seribu daleh.
Namun begitu ada yang menjadi ego apabila mendapat sedikit kelebihan. Mungkin perasaan ini hadir kerana mereka merasakan sedikit kebolehan itu adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya kerana merasakan dirinya yang cacat pun boleh melakukannya, apatah lagi jika sesetengah orang normal pun tidak boleh melakukannya.
Sebagai contoh, apabila OKU dapat menggunakan komputer mereka merasakan begitu hebat. Apatah lagi jika ada orang normal yang memuji, mereka merasa begitu megah dan berbangga. Sikap begini bukan saja merosakkan persahabatan apabila memandang remeh kepada orang lain tetapi juga memusnahkan jiwa kita terhadap Tuhan yang amat keras larangannya kepada orang-orang yang bersikap riak dan takbur.
Selain daripada itu, OKU juga jarang ingin mencuba perkara yang baru. Sepatutnya sikap ingin mencuba perlu ditanam dalam setiap warga OKU agar merka tidak ketinggalan dalam arus dunia tanpa sempadan ini. Jangan anggap kecacatan sebagai penghalang kerana setiap yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. ada hikmah dan keistimewaannya.
Pendek kata, OKU mesti menjalani kehidupan ini seperti orang normal juga. Jangan malu untuk membuat ketrampilan diri kerana jika ada yang memandang hina kepada OKU, ianya bukanlah perkara pelik. Adat manusia memang begitu. Bukan saja orang normal, sesama cacat juga turut menghina sesama mereka. Jadi kenapa harus terasa jika ada orang normal berbuat demikian? Pokoknya, sesiapa yang lakukan, tanggunglah kesannya. Kita yang menerima harus berdoa agar mereka insaf dan sedar.
Seperkara yang penting bagi OKU, jangan anggap kecacatan yang ada pada diri ini adalah penghalang segala-galanya sehingga tanggungjawab kepada Tuhan juga turut dirangkum bersama. Sedangkan pesakit kronik pun diwajibkan bersolat walaupun dengan cara isyarat, inikan pula kita OKU yang lebih berpeluang mengerjakannya?
Jadi, fikir-fikirlah. Kekurangan fizikal bukan satu sijil perlepasan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Ilahi seperti solat, puasa dan sebagainya.
Untuk seketika, bacalah apa yang tersurat di dalam rencana ini sambil merenung apa yang tersirat di sebaliknya............. Alang Tamalika.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan