/ “Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.”
\ “Batu pun untung walaupun tenggelam?”
/ “Orang ke laut memasang pukat, guna batu atau timah untuk
menenggelamkan pukat, baru dapat ikan, itulah untung.”
\ “Macamana saya nak buat sajak berkenaan laut?”
/ “Kenapa tak buat sajak berkenaan Pantai Teluk Ketapang?”
\ “Bagus cadangan itu, bagaimana saya nak mulakan?”
/ “Awak orang Kelantan datang ke Teluk ketapang kerana bertemu
jodoh, banyak idea tu.”
\ “InsyaAllah saya akan cuba, terima kasih, Pak Aziz.”
Tiada siapa yang tahu dengan siapa aku bercakap tentang hal ini. Kalau aku bagitahu pun, kalau orang minta bukti, pasti aku tidak boleh berikan. Lainlah kalau talipon yang aku gunakan boleh bagitahu bahawa percakapan itu adalah antara aku dan J.M Aziz.
Aku tidak pernah kenal rapat dengan penyair kurang sempurna fizikal (KSF) ini. Namun aku sering mengikuti perkembangannya. Ketika aku mula hadir ke Teluk Ketapang kerana bertemu jodoh di sini, aku bercita-cita hendak bertemu dengannya. Melalui isteriku, aku menaliponnya. Ternyata Pak Aziz seorang yang cukup peramah. Dia tidak loket ilmu. Apa saja yang aku tanya, dia pasti jawab dengan senang hati. Dia beberapa kali menyuruh aku datang ke rumah puisinya tetapi aku tidak punya masa yang terluang walaupun jaraknya Kampung Teluk Ketapang dan Kampung Baru Seberang Takir hanyalah tiga kilometer.
Mungkin tidak ada jodoh pertemuan, maka perkenalan kami cuma menerusi corong talipon. Apa yang menjadi kenanganku, sepanjang berkenalan dengannya, ada beberapa sajak yang berjaya kunukilkan dan tersiar di beberapa dada media massa.
Ada satu yang cukup mengecewakanku, pada suatu hari dia datang dengan sesaorang menjemput aku di rumah mentua di Teluk Ketapang. Sayangnya aku tidak ada kerana balik ke Kelantan. Dua hari selepas itu, aku menaliponnya, dia katakan datang mengajak aku ke Besut kerana ada satu program berkaitan puisi. Sungguh-sungguh aku terkilan dengan hal ini.
Sehingga pemergiannya menemui Ilahi, aku cuma kenal Pak Aziz melalui suara. Namun aku berbangga kerana pernah menjadi kawan dan murid kepada seorang penyair yang cukup besar semangatnya walaupun kurang sempurna fizikal. Aku tidak pernah gunakan perkataan insan kurang upaya kerana orang sepertinya adalah seorang yang berupaya. bahkan, mana-mana mereka yang cacat, tidak kiralah cacat anggota, penglihatan, pendengaran dan sebagainya, jikalau mereka mampu berdikari dan berjuang dalam hidup ini, mereka tidak wajar dikategorikan orang kurang upaya atau OKU, sebaliknya mereka cuma kurang sempurna fizikal atau KSF. Yang layak bergelar OKU ialah pesakit yang tidak mampu berbuat apa-apa. Sedangkan mereka yang cacat bukan tidak mampu, malah kadang-kadang lebih hebat daripada yang normal.
Perkataan cacat bukanlah sesuatu yang hina. Perkataan ini memberi makna yang tepat. Tidak ada apa yang perlu dimalukan dengan perkataan itu. Perkataan ini langsung tidak memberi impilikasi yang buruk jika insan-insan KSF tadi berada dalam golongan mereka.
Aku ada seorang kenalan. Namanya Z. Bila aku pelawa dia masuk Persatuan Insani dia menolak terang-terang.
“Mengapa tidak mahu bersatu dalam persatuan, orang macam awak yang berkelulusan tinggi, patut ada dalam persatuan demi memantapkan persatuan,” aku memujuk sambil menabur sedikit pujian.
“Sebenarnya, biarlah saya berterus terang, saya sejak dari kecil tidak pernah bergaul dengan orang cacat, jadi saya rasa tak bolehlah nak bergaul sekarang.”
Terkedu aku mendengarnya. Di sudut hatiku menukilkan kata, ada juga orang cacat yang tidak mahu mengaku cacat.
Aku tanya R, kawan yang kenal rapat dengan Z.
“Dia cacat sikit aje, tapi tetap dikategorikan cacat oleh JKM.” Kata R hampa kerana dia memang berharap Z menganggotai persatuan yang diterajuinya itu.
Aku tidak tahu, mengapa ada insan cacat berfikiran seperti itu. Barangkali dia masih tidak mahu menerima realiti bahawa dia cacat. Memang aku tahu, Z berkawan dengan orang-orang sempurna sahaja. Dia sentiasa menganggapnya sempurna walaupun zahirnya cacat. Biarlah dia dengan dunianya. Aku rasa dia tidak mahu menyertai persatuan kerana tidak mahu menonjolkan kecacatannya. Kalau selama ini orang tidak ramai yang tahu dia cacat, jadi dia takut bila dia sertai persatuan orang cacat akan terserlah kecacatannya di mata masyarakat.
Tentu ada yang akan bertutur, “ Masya Allah, rupanya si Z tu cacat rupanya..”
Agaknya itulah yang dia takut-takutkan.
Masalah hendak menyertai persatuan inipun cukup menghairankan aku. Ada seorang gadis bernama Ila. Dia cacat anggota. Bila aku pelawa dia menjadi ahli persatuan, dia tanya aku, “apa faedahnya kalau saya masuk persatuan ini?”
“Banyak faedahnya, contohnya suara kita akan menjadi kuat, kita akan berusaha berdikari dan memajukan diri menerusi persatuan,” kataku memujuk terus.
“Kalau saya masuk persatuan ini, bolehkan persatuan tolong bayar hutang saya?”
Hendak tergelak pun ada, hendak marah pun ada. Aku fikir Ila memang tidak berminat hendak menyertai persatuan ini. Buktinya, bila aku hantarkan borang keahlian kepadanya, dia peram sahaja borang itu sampai sekarang. Malas aku hendak hubunginya lagi.
Aku rasa orang cacat tidak ramai seperti Pak Aziz. Walaupun dia lebih ramai kawan insan normal, dia tidak pernah tidak mengaku dirinya cacat. Kecacatannya pula tidak dijadikan sandaran untuk meraih simpati atau menjadi halangan kepadanya untuk berkarya.
Aku pun mesti jadi macam Pak Aziz – Si Penyu Menangis Siapa Yang Tahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan