Sejak dahulu, ramai orang percaya dan sesetengahnya taksub kepada bomoh, dukun, pawang atau seangkatan dengannya. Apa yang dikatakan oleh bomoh dipercayai seratus peratus walaupun tidak logik dan tidak boleh diterima akal.
Saya menulis tentang ini (walaupun hal ini telah banyak dipertuturkan) kerana ada seorang kawan saya menerima bahana pertuduhan bomoh. Kawan saya ini tidak termasuk dalam golongan orang kacak, bahkan beliau bukannya berjawatan tinggi atau hartawan. Beliau telah bercinta dengan seorang wanita yang agak berkedudukan dan lawa. Mereka saling mencintai dan merancang hendak kahwin. Malangnya keluarga wanita itu tidak menyukai lelaki ini. Puas ikhtiar menghalang percintaan ini tetapi wanita itu semakin kuat menyintai lelaki itu.
Akhirnya keluarga wanita itu pergi berjumpa seorang bomoh. Setelah mendengar masalah dan penjelasan dari keluarga wanita itu, bomoh itu tanpa segan silu membuat tuduhan (nujum) bahawa wanita itu telah terkena ilmu pengasih lelaki itu yang diletakkan dalam makanan. Kata-kata bomoh itu yang seakan betul memberitahu perwatakan lelaki itu telah dirakam untuk diperdengarkan kepada wanita itu.
Setelah mendengar rakaman kata-kata bomoh itu, wanita itu segera memberitahu kekasihnya. Terkejut sakan lelaki itu dan hendak ketawa pun ada. Tetapi lama kelamaan, lelaki itu mula rasa terhina dengan tuduhan tersebut. Apabila hal ini disebarkan oleh keluarga wanita itu, pelbagai pandangan negatif diberikan kepadanya. Sangat terhina dirasakan. Mentang-mentanglah rupanya buruk, miskin, orang menganggap, untuk mendapatkan seorang kekasih terpaksa menggunakan ilmu, sedangkan dia tidak pernah percaya ilmu-ilmu begini. Mujurlah kekasihnya tidak terpengaruh dengan dakwaan bomoh tadi.
Lelaki itu berkata, kalau wanita itu hendakkan dia kerana digunakan ilmu, maka dia (lelaki itu) yang turut tergila-gilakan wanita itu adakah juga diilmukan oleh wanita itu?
Siasat punya siasat, tahulah bahawa, tuduhan bomoh itu yang hampir tepat berkenaan lelaki itu sebenarnya telah digambarkan sedikit sebanyak oleh keluarga wanita itu semasa ditanya oleh bomoh itu. Menggunakan maklumat yang disampaikan, lalu bomoh itu membuat ramalan yang seolah-olah tepat kena batang hidung lelaki itu.
Air jampi yang diberikan bomoh tadi tetap diminum oleh wanita itu setelah dipaksa oleh keluarganya. Setelah minum beberapa hari, hati wanita itu terus kukuh menyintai lelaki itu.....
Moral cerita ini: Melakukan hal-hal nujum adalah haram hukumnya. Orang yang menujum dan orang yang mendapatkan khidmat nujum sama dosanya. Fasik ke, munafik ke, kufur ke hukumnya, kedua pihak telah melakukan satu kesalahan dosa besar di sisi agama. Perasaan cinta sebenarnya wujud secara semula jadi dalam diri insan. Cinta sesuatu yang unik.
Jadi jangan percaya kegilaan sesaorang kepada sesaorang kerana diilmukan. Lainlah kalau kerana diberi makan racun........ sahlah diracunkan......
Lelaki itu berkata lagi, dia tidak akan memaafkan orang yang terlibat membuat tuduhan itu sehinggalah mereka memohon maaf daripadanya......
1 ulasan:
salam ziarah.. semoga dijauhkan dari kejahatan
Catat Ulasan