Khamis, 8 Januari 2009
Teringat kenangan demi kenangan.
Ketika sendirian memandu pulang dari Kota Bharu ke Machang selepas Maghrib di Nilam Puri pada khamis 7 Jan 09, aku melayani minda dengan lagu-lagu stesen Klasik Nasional. Entah mengapa setiap lagu yang dialunkan menyentuh sanubariku.
Saat itu kembali seketika aku ke zaman 70an, 80an dan 90an. Terlalu banyak peristiwa meruntun kalbu dan sembilu kasih. Zaman 70an adalah zaman yang padat dengan pelbagai dunia keremajaan (ada kisah-kisahnya). Kemudian kisah duka diri yang kesaorangan terdampar di halaman sendiri pertengahan tahun 80an tanpa dipeduli dek kemiskinan, kedhaifan dan kekurangan upaya menyebabkan putaran memori itu memenuhkan kolam mata dengan cecair pilu. Rasanya tidak sampai hatiku untuk mencoret sejelasnya kesengsaraan yang ditanggung.
Untuk menguatkan tubuh kerdil ini aku yang serba kekurangan upaya fizikal berusaha mendapatkan sesuap nasi dengan kreativiti yang ada. Walaupun tidak seberapa hasilnya tetapi cukuplah untuk seorang aku.
Apa yang ku sedari, rupa-rupanya kemiskinan, kekurangan dan kedhaifan tidak ada siapa yang hendak pandang tetapi jika akal kita sempurna, orang akan hormat kita walaupun kita tidak berharta. Itulah yang terjadi selepas kreativiti digunakan.
Dengan takdir Allah juga awal 90an, aku seakan ingat-ingat lupa tetiba sahaja sahabat pena semasa sekolah ketika aku menjadi penulis dalam Utusan Pelajar menghubungiku semula setelah berpisah hampir dua puluh tahun. Walaupun dia tahu kekurangan yang ada padaku tetapi Allah.s.w.t itu sungguh Maha Pengasih, bagaikan mimpi aku dan dia tidak sampai 6 bulan menjalinkan cinta akhirnya menjadi suami isteri.....(Rasanya satu novel boleh aku tuliskan kisah ini kalau aku tidak sibuk).
Mengingatkan sejarah ini sebak dan terharu memang tidak dapat dipisahkan dari hatiku. Bagaikan dari lumpur yang cemar perempuan ini seakan menggilap aku seolah-olah menjadi permata yang bersinar. Aku katakan bersinar kerana sebelum ini aku memang dalam kemalapan hidup. Cerita ini terlalu panjang untuk diluahkan sepenuhnya tetapi cukuplah jika aku katakan, barangkali perempuan ini tidak mungkin akan aku jumpa lagi sepertinya di zaman ini. Kesanggupan dia menjadi isteri kepada seorang aku yang....ah...memang sukar dipercayai tetapi ianya benar terjadi.... Dugaan? Memang banyak dugaan.....(Biarkanlah dulu)dan perempuan itulah isteriku sekarang....yang ku panggil Maz.
Sejarah ini kebetulannya menyamai sejarah seorang sahabatku yang menemui cintanya dalam dunia kegelapan....walaupun dia diwarnai sinar.
Dan kini alhamdulillah aku tidak berdendam kepada sesiapa meskipun jika diingat-ingat kisah silam, tidak perlu aku berbakti di halaman yang pernah didukai dan dinestapakan,tetapi bahkan aku bangga dapat menjadi orang yang dapat membahagiakan orang lain di sini... Tanah keturunanku...
Teringat rangkap sebuah lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, "ohhh dunia ibaratnya roda, naik turun tiada hentinya...
Ah... demikian kenangan... aku cuba biarkan kenangan menjadi kenangan tetapi tidak semudah diucapkan kerana ianya terlalu hampir denganku....di hatiku.....
,;.,;.,;.,
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan