Ahad, 1 Mei 2011

Tajassus

Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Tajassus dengan bahasa mudah bermaksud mengorek sesuatu berita. Dalam sebuah artikel berkenaan isu ini, Al-Syaikh Salim ‘Id al-Hilali ketika mensyarahkan hadith-hadith Riyad al-Salihin menyebut:
 Tajassus bermaksud mencari dan menyelidiki keburukan dan keaiban kaum muslimin. Al-Quran dan al-Sunnah telah melarang hal ini. Sebabnya ia menyakitkan empunya keaiban itu sedangkan dia berusaha menutup dan tidak melakukannya secara terang-terangan. Dilarang berusaha mencari kesalahannya kerana kita disuruh menutup keaiban seboleh mungkin”.( Al-Hilali, Bahjah al-Nazirin, 3/92, Jeddah: Dar Ibn Jauzi 1425H).

Sesuatu yang menggusarkan jika kita boleh mengorek rahsia atau keburukan orang kemudian kita sebarkan sama ada untuk memalukan atau menjatuhkannya. Jika ianya tidak menjadi kesalahan, sesaorang sewenang-wenangnya memasang CCTV di mana-mana tandas, bilik atau bilik hotel, kemudian menyebarkanya.

Walau bagaimanapun mengikut pendapat saya, sesetengah keburukan perlu dicegah supaya kesannya tidak mengenai kita semua. Jika Allah hendak turunkan sesuatu bala, dia akan turunkan ke atas semua manusia di kawasan yang dikehendaki, bukan ke atas individu yang melakukan kesalahan itu. Jadi jika ada hal yang meragukan, eloklah buat laporan kepada pihak berkuasa supaya mereka yang membuat tindakan dan bukannya kita merakam aksi mereka kemudian buat ugutan atau desakan. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab bukan yang memudaratkan. 

Sesungguhnya kerajaan yang baik adalah kerajaan yang menjaga kebajikan, keselamatan dan moral rakyatnya serta menyeru kepada mematuhi perintah Allah dan mencegah kemungkaran ( amar makruf, nahi mungkar).......

Tiada ulasan: