Sabtu, 1 Mac 2014

PERKARA BARU DALAM HIDUP

Kita hanya merancang tetapi Tuhan Menentukan samada mengikut apa yang kita rancang, tersasar jauh dari yang dirancang atau diubahsuai sedikit sebanyak perancangan kita sebenar. Bukan sesuatu yang pelik jika kita redha dengan apa yang berlaku.

Sebelum kita mengetahui keputusannya, kita suka berspekulasi dengan bermacam tanggapan negatif. Sedangkan apa yang dirancang, jika dengan tujuan yang baik, kita sepatutnya menilai sejauh mana kita memastikan perancangan menjadi kenyataan. Selepas semuanya dibereskan, kita wajib bertawakkal kepada Allah.

Sesuatu perkara yang kita belum pernah melaluinya, kita sudah tentu mendengar dari cerita-cerita orang yang pastinya pelbagai reaksi. Jika kita seorang insan yang boleh berfikir dan ingin berfikir, kita sudah tentu tidak mahu menjadi yang tidak baik. Jika pasti masuk kandang harimau akan dibaham, tetapi jika kita terpaksa memasukinya atau kita perlu memasukinya, bodoh benar jika kita tidak merancang dan mengkaji kelemahan apa mereka yang masuk dibaham harimau. Maka di sini, tindakan bagus kita ialah, kita membuat perancangan yang menang-menang. Kita terselamat, harimau pun tenang melihat kehadiran kita.

Sebab itu, perkara baru yang ingin kita lalui, kita perlu ada cara yang sistematik supaya ianya tidak gagal. Kita mesti ingat apa yang kita hendak buat Jangan Bukan Kerana Allah, Bukan Kepentingan Diri Jangan Menyalahi Hukum Islam, Yakin dan Takwa serta Bertawakallah. In-sya Allah semua yang payah akan dipermudahkan, Jadi mengapa susahnya hendak membuat perkara baru yang sering menjadi masalah kepada orang lain?

Orang yang bijak tidak akan mendapat keputusan yang sama dengan orang yang tidak bijak.

Contoh Terkini : Jika Perkahwinan untuk isteri kedua itu selalunya berakhir dengan porak peranda sebagaimana kita dimomokkan dalam semua media, cerita mulut ke mulut, mengapa kita perlu turut kegagalan itu? Orang cerdik tidak akan memulakan kerja tanpa peracangan. Bukankah Allah memberi kita akal untuk berfikir dan mengkaji serta berikhtiar! Sesungguhnya, Allah tidak akan membenarkan umatnya berkahwin lebih dari satu jika tidak ada hikmah dan musabah serta kelebihannya. Hanya kita yang merosakkannya dengan penyakit hati - Cemburu, Dengki dan Tamak.

Maka, perkara baru dalam hidupku....perlu tabah dan cekap menghadapinya.....
Kejayaan Lafaz pada 27- Feb - 2014 / 27 Rabiulakhir 1435H ( Membuatkan bertambah aku yakin bahawa sentiasa bergantung kepada Allah untuk selamanya adalah wajib ke atas semua urusan...)

Aku perlu buktikan tetapi jika mereka menggagalkannya, aku perlukan bantuan-Mu Ya Allah.