Bila mengharap sesuatu, kita akan kecewa jika harapan kita tidak kesampaian. Makin bertambah parah kecewa bila apa yang diharapkan tidak kesampaian kemudian diperli dan dipermainkan pula. Umpama seorang menagih kasih dari sesaorang tetapi tidak berbalas. Tidak cukup dengan cinta tidak dibalas malah dihina dan diperlekehkan serta dipersalahkan. Kalau boleh, mimpi mukanya pun tidak boleh.
Kekecewaan sebegini memang menimbulkan dua perasaan sama ada menyepi sendiri meratap pedih atau menyimpan dendam yang penuh membara..Orang desperado memang sanggup buat apa saja untuk melepaskan kekecewaannya dalam bentuk dendam. Bahkan ada yang sanggup menjadi pengkhianat negara. Kalau kecewa kerana seorang kekasih mungkin tidak sampai ke peringkat ini tetapi bayangkan apa yang sanggup sesaorang itu lakukan mengikut tahap kekecewaan itu.
Yang menyepi sendiri, meratap pedih derita cinta dan sebenarnya menangis tanpa air mata di khalayak tetapi berjuraian di kala mendendangkan lagu pilu tika sendirian. Yang menyedari itu adalah takdir tuhan mungkin memohon keredhaan Ilahi supaya dikuatkan semangat menempuh hidup ini.
Kepada mana-mana orang yang pernah kecewa, ingatlah bahawa muhasabah diri penting untuk menilai kesilapan di mana letaknya. Kemudian berserah kepada-Nya. Sejarah pernah berlaku bahawa orang yang pernah mencerca menjadi cinta dan yang pernah memuji menjadi keji.
Kepada mana-mana orang yang pernah mengecewakan orang mengikut tahap busuknya hati, ingatlah bahawa sekali kita melukakan orang dua kali kita akan terluka….











