Sabtu, 27 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Akan berlalu Ramadan dan kemudian muncul Syawal. Dalam kepiluan meratapi pemergian bulan keberkatan, Ramadan al-Mubarak, kita juga patut teruja untuk menempuhi bulan yang penuh kesyukuran dan menempa kejayaan. Pada bulan ini, Syawal, kita akan merayakan kemenangan setelah sebulan menjalani ibadat puasa, rukun Islam yang ketiga.

Kehadiran lebaran ini, masing-masing mempunyai kelainan rasa. Ketika ada yang rasa teramat gembira menermui keluarga di kampung, ada juga yang pilu merindui kedua ibu bapa yang telah kembali pada Ilahi. Yang ada mentua mungkin bolehlah mencium kedua tangan mereka menggantikan ibubapa sendiri. Yang tidak ada kedua-dua, maka carilah sesiapa yang layak yang ada pertalian saudara untuk dipanggil ibu atau ayah untuk mencium tangan keduanya sebagai tanda kita menyayangi kedua ibu bapa kita juga. (Ada sebuah hadis berkaitan).

Bulan yang mulia ini, sama-samalah kita bermaafan. Mungkin pada hari raya ini kita perlu pasrah dan berterus terang dengan orang tersayang menyatakan kesilapan yang telah kita lakukan tanpa pengetahuannya. Terutama suami isteri. Bermaafan hendaklah ikhlas. Sesuci lebaran, demikian juga hati ketika menyambut salam sahabat  handai, saudara mara dan kaum keluarga, biarlah seikhlas dan bersih suci.

Kepada pembaca blog saya, ampun dan maaf jika ada yang terasa hati, kecewa dan marah. Sesungguhnya saya hanyalah insan biasa yang tidak pernah lepas dari dosa-dosa.

"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku tidak layak masuk ke syurga-Mu tetapi aku tidak sanggup menerima siksaan neraka-Mu. Oleh yang demikian, ampunlah dosa-dosaku, Tuhan yang Maha Pengampun dosa-dosa besar..."

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Tiada ulasan: