Selasa, 15 November 2011

Menyayangi dan membenci berpada-pada

Ada satu pesanan dari Rasulullah s.a.w yang membawa maksud lebih kurang: “janganlah membenci sesaorang dengan berlebihan kerana suatu hari mungkin dia akan menjadi orang yang rapat dengan kita dan janganlah pula menyayangi sesaorang dengan keterlaluan kerana suatu masa dia mungkin akan men jadi musuh kita……”
Dari maksud pesanan ini, sesungguhnya kita memang tidak boleh membenci sesaorang keterlaluan dengan pelbagai kutukan dan cercaan kita katakan padanya. Apabila dengan kuasa Allah hendak tukar hati kita, tetiba kita menyayanginya dan silap-silap jika lelaki dan perempuan akan menjadi kekasih, malah tidak mustahil sebagai isteri juga. Masa ini tentu kita akan malu pada diri sendiri kerana pelbagai sumpah seranah, kutukan telah kita katakan. Mungkin juga kawan-kawan yang rapat dengan kita akan memecahkan tembelang yang dulu kita pernah kutuk padanya. Mungkin akan jadi isu pula untuk bergaduh semula.
Yang tinggal lagi…macam mana nak tutup segala kutukan  yang lepas yang kita curahkan pada orang lain…..
Demikian juga jika menyayangi sesaorang, janganlah melebih-lebih sehingga sanggup buat apa saja, hatta menyerahkan ‘bodi’. Segala pujian dan pujaan kita luahkan yang kononnya tiada siapa yang boleh menandingi dirinya. Paling besar kesilapan, segala rahsia kita bagitahu, atau membuat “rahsia” dengannya. Sanggup berposing dengan seksi dan “seksa”. Demikian juga apabila suatu hari tanpa diduga, orang yang kita sayangi itu akan menjadi musuh dengan sedikit kesalahan…..bayangkan!!! ‘Bodi’ dah serah, ‘rahsia’ dah buat, posing maut dah terakam dan segala rahsia sudah diketahui….. Bukankah huru hara jadinya?
Yang tinggal lagi…bila masanya nak bocorkan…..
Justeru, berbaik dengan sesaorang biarlah berpada-pada, "jangan sampai tidur dalam perutnya"(perpatah orang tua) dan memusuhi sesaorang janganlah berpanjang-panjangan, jangan lebih 3 hari…. Buang yang keruh ambil yang jernih, sudah dapat yang jernih, bolehlah dijerang untuk dibuat tea-O…..
Pokoknya: Menyayangi dan Membenci biarlah berpada-pada....

Khamis, 3 November 2011

Hari Raya Qurban


HARI RAYA AIDILADHA dikenali juga sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban dan ianya merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah.
Hari Raya Haji dikenali kerana pada ketika itu ramai umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima iaitu Menunaikan Haji di Baitullah dan dikenali pula sebagai Hari Raya Qurban kerana pada hari-hari tersebut umat Islam menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu atau kambing untuk diberi kepada orang-orang miskin disegenap pelusuk dunia.
Ibadat Qurban adalah sunat diamalkan sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang telah mengorbankan anak baginda, Nabi Ismail a.s kerana menuruti perintah Allah s.w.t. Walaupun akhirnya Nabi Ismail digantikan dengan seekor kibas, tetapi kesanggupan dan kepatuhan Nabi Ibrahim dengan arahan Allah sangatlah besar yang tiada tandingannya.
Kesan-kesan pengorbanan ini sepatutnya kita terapkan dalam kehidupan supaya kita tidak loket dengan pemberian Allah s.w.t. Banyak fadilat dan kelebihan berkorban antaranya:
1.    Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.
2.   Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
3.   Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat.
4.   Bulu-bulu binatang yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.
5.   Mewujudkan suasana kerjasama dan ikatan silatulrahim sesama umat Islam.
Walau bagaimanapun banyak pengorbanan salah digunakan, contohnya, seorang gadis sanggup berkorban jiwa dan raga sebagai tanda kesetiaan tidak berbelah bagi.
Selain itu, ada yang sanggup berkorban untuk kawan-kawan demi membuat kerja-kerja kotor seperti mencuri dan sebagainya.
Pendek kata, pengorbanan yang hakiki ialah berkorban kerana Allah. Menjalankan ibadat Qurban jika semata-mata untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia mampu, tidak kedekut dan sebagainya tidak akan mendapat apa-apa fadilat Qurban kecuali balasan dosa juga akhirnya….

"SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA - MAAF ZAHIR BATIN"

Rabu, 19 Oktober 2011

Hari Lahir.

Mengingati tarikh lahir orang lain bukan semua manusia lakukan. Kadang-kadang hari lahir sendiri pun ada yang terlupa. Apatah lagi tarikh lahir orang-orang di sekelilingnya. Ada setengah orang mudah mengingati tarikh lahir orang yang tersayang seperti tarikh lahir kekasih, ibu, ayah atau anak.

Sebenarnya mengingati tarikh lahir orang lain sangat besar maknanya kepada tuan ampunya diri. Jika kita buat kejutan pada jam 12 malam masuk tarikh hari lahirnya, dia akan terasa sangat dihargai. Memang mengingati tarikh lahir sesaorang sangat bermakna dan meninggalkan kesan mendalam.

Demikian juga jika kita tidak mengingati tarikh lahir orang tersayang contohnya, pasti dia akan terasa kecil hati dan rasa tidak dihargai lagi sedangkan seminggu sebelum tibanya tarikh lahir dia bayangkan kita akan ucapkan ucapan keramat "Selamat Hari Lahir, semoga panjang umur dan murah rezeki'.. Jadi sangat perlu setahun sekali kita mengingati tarikh lahir dan mengucapkan selamat untuk orang-orang tersayang dengan harapan hubungan bertambah erat dan penuh silatulrahim.....

Tambahan pula disertakan hadiah, lagilah besar maknanya.....

Khamis, 29 September 2011

Bahagia Hidup Bermadu

Saya terbaca satu artikel ni dalam satu blog dan rasanya kita semua patut berkongsi idea ini untuk pengetahuan. Mungkin pandangan negatif yang selalu digambarkan dalam hidup berpoligami membuatkan lebih ramai yang memandang serong apabila menyebut tentang poligami sedangkan ianya salah satu sunah Rasulullah s.a.w. Sunah Rasulullah semuanya ada kebaikan dan ada hikmah. Antara banyak sunah, poligami satu-satunya sunah yang sering diperdebatkan dan dijauhi......
Mungkin kita akan mendapat sedikit pengetahuan baru dengan atikel di bawah.

Barangkali hanya yang sedang atau pernah melalui kehidupan bermadu dapat merasai pahit manisnya berkongsi kasih daripada seorang lelaki bergelar suami.
Pernahkah terfikir untuk menamatkan sebuah hubungan dengan seseorang yang anda kenali dan sayangi itu yang nyata milik wanita lain?
Melihat sisi yang pelbagai terutama menelusuri kisah rumah tangga pasangan lain yang pernah hidup bermadu sentiasa bergolak hingga berakhir dengan kehancuran, pasti menggugat impian anda untuk memanjangkan hubungan.
Namun, suratan takdir menyatakan memang dia adalah jodoh anda, lalu anda reda atas segalanya.
 
Diserang atau dicop dengan pelbagai tuduhan seperti perampas, pemusnah rumah tangga insan lain dan pelbagai kejian atau kata kesat mungkin juga membuatkan anda gentar untuk melayari bahtera berdua walau hakikatnya anda terpaksa berbahagi atau berkongsi kasih.
Jika itu keputusan dan jalan yang anda pilih, beberapa petua berikut mungkin mampu dimanfaatkan untuk menjadi insan yang tabah dalam memadu kasih.
Tidak dinafikan, menjadi isteri kedua sering dipandang serong dalam masyarakat lalu anda harus bersedia secara mental dan fizikal dalam menempuh fasa yang mungkin melukakan perasaan anda. Apa yang penting (bukan menggalakkan), cinta sejati tidak mudah goyah hanya kerana hinaan atau kejian orang.

# Jangan peduli apa orang kata, peduli hanya apa yang keluarga dan suami anda kata kerana hanya mereka yang berjasa dan berkepentingan dalam hidup anda.

Masyarakat hanya tahu mengutuk, tetapi tidak tahu memberi jalan penyelesaian. Tidak berdosa hidup bermadu, tidak hina menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat, dengan syarat suami anda mestilah seorang suami bukannya seorang ‘lelaki’.

# Sentiasa merendah diri dan hormati isteri pertama, biar dia marah atau mengata apa saja asalkan anda sentiasa mengalah.

Kuatkan hati dengan matlamat bahawa perkahwinan anda adalah mencari keredaan Allah melalui kebaikan suami. Jika niat jelas dan ikhlas, lama-kelamaan isteri pertama akan lembut hatinya bahkan dia boleh menjadi kawan baik.

Pasti anda akan tenang apabila madu menghubungi dan bertanyakan khabar anda di kala suami bersamanya. Lakukan perkara serupa kepadanya apabila suami bersama anda pula.

# Senangkan hati suami, dia akan menyenangkan hati anda. Bukankah semua isteri mahu disayangi suaminya?

Oleh itu, anda perlu sentiasa memainkan peranan aktif supaya hati suami selalu senang dan tenang kerana apabila hati suami senang, madu anda juga senang hatinya. Secara langsung, kebaikan itu datang kepada anda juga, hati akan terus diselubungi kebahagiaan tanpa sedikit pun rasa iri bermukim di hati.

# Jangan tamak masa dan harta, terimalah seadanya daripada suami. Ini kerana segelintir isteri yang bermadu mengimpikan masa yang panjang untuknya sedangkan dia kena ingat dia ‘datang’ kemudian.

# Sewajarnya isteri kedua mampu berdikari supaya masa santai itu dipenuhi sebaik-baiknya. Jadi, akan kurang masa untuk memikirkan yang bukan-bukan dan jangan benarkan syaitan menguasai diri.

Mana ada perempuan yang tidak cemburu? Sedikit sebanyak ada rasa cemburu di hati kerana kita hanya manusia biasa, tetapi biarlah berpada-pada dan tunjukkan juga rasa sedikit cemburu itu kepada suami supaya dia tahu yang anda sayang kepadanya.

# Ambil hati mentua sewajarnya supaya dia juga kasihkan anda dan anak seperti dia kasihkan keluarga suami anda yang satu lagi.

# Tiada siapa yang menang atau kalah dalam perhubungan seperti ini, yang penting adalah ketenangan dalam perhubungan itu.

# Sokongan keluarga sendiri sangat penting untuk wanita seperti anda, jadi anda tidak akan rasa kekurangan apabila suami tiada bersama.

# Fikirkan konsep poligami itu adalah berkongsi bukannya merampas.

Namun, ketika anda menerima lamaran bakal suami untuk bergelar isteri kedua, berhati-hatilah ketika menerima lamaran dengan meneliti beberapa perkara iaitu:

# Tanya dan lihat: Adakah dia lelaki bertanggungjawab kepada keluarga dan ibu bapanya? Jika ya, maknanya dia akan bertanggungjawab juga kepada diri anda.

# Adakah dia menjaga solat setiap kali berjumpa anda? Jika ya, maknanya dia lelaki yang tahu perkara asas.

# Adakah bakal madu anda terdidik akhlaknya? Jika ya, mudah untuk anda berbaik-baik dengannya.

# Adakah dia punya pekerjaan tetap sekian lama? Jika ya, maknanya dia tetap pendirian dan tahu maksud kehidupan.

# Adakah dia faham mengenai perkahwinan sama seperti yang anda faham?

Jika ya, mudahlah bagi anda dan dia bertolak ansur. Jika tidak, lebih baik berfikir dua kali kerana tidak semua perempuan atau lelaki kental. Ramai juga yang mengambil peluang dengan konsep poligami ini, namun hanya mereka yang berwibawa saja mampu melakukannya. 
Oleh Noriah Idris

Isnin, 5 September 2011

Aku ingin sendiri...


Selepas Ramadan berlalu, hati ini terasa kesepian. Jauh di sudut hati ingin merantau meninggalkan kampung halaman. Tidak mahu bertemu dengan sesiapa. Hati ini bagaikan menjauh entah ke mana. Orang-orang yang selalu bermain di minda mulai terasa semakin jauh berlalu…dan berlalu…

Aku memang ingin sendirian seketika. Aku tidak perlukan sesiapa untuk kudambakan hati ini pada kesepian. Kalau bukan kerana tanggungjawab terhadap keluarga, sudah pasti aku berhijrah jauh entah ke mana. Kadang-kadang ingin pula aku hidup merempat umpama pengemis mencari makna kenyataan hidup….

Hatiku saat ini tidak perlukan sesiapa lagi kecuali keluarga…. Dan andainya aku bisa lakukan, aku akan meredah segenap rantau untuk mencari ketenangan hakiki sebagai musafir……

Aku ingin sendiri seketika…atau selamanya dari orang-orang yang menderitakan aku dalam kerinduan yang tidak ada penghujung dan pertemuan…..