Jumaat, 13 Mac 2009

Dilema - Sebuah Cinta Terlarang

Entah siapa yang menghantar sebuah puisi ini. Gaya bahasanya macam aku. Maksud puisinya pun sangat mengesankan seakan aku jua mengalaminya.....

Dan sesungguhnya aku memang mengalaminya.........


Cuba baca dulu:.....................


Sayang, sejak sekian lama
kukaburkan perasaan
demi kesangsian
ku pendam sebuah cinta
hanya kerana bunga di taman orang
tidak kuimpikan meskipun kuharapkan
tidak kuluahkan biarpun hati mengucapkan.

sayang, dalam mimpi ada mimpi
dalam jaga ada igauan
suratan kadang-kadang pasti
takdir sesekali sukar mengerti.

Sayang, malam yang temaram
berbisik lagu rindu
ombak dan pantai saling menyapa
bercerita kisah Qais dan Laila
dan kita sedemikian
seakan memahami
cinta terlarang bukannya mimpi
malangnya bukan juga ada destinasi.

Sayang, beginikah hari ini
atau esok masih begini?

Begitulah kita insan yang kadang-kadang akan mengalami perkara ini tanpa diduga. Mungkin ramai yang kata kalau aku tak mungkin, tetapi jangan dilupa, bahawa cinta sering datang tanpa diduga.... Menyintai sesaorang yang statusnya bunga larangan amat malang untuk diteruskan.

Bagi lelaki pun salah, yang perempuan lagilah salah.....
Namun, cinta sungguh pelik dan terharu...........
Duduk dekat pun rindu, apa lagi duduk berjauhan...

Bak kata pantun:

Pucuk putat kembang
Pucuk Pauh layu
Duduk dekat sayang
duduk jauh rindu.....

Lalu bila bersendirian lagu inilah pula jadi nyanyian:

ingin kunyanyikan lagu nan gembira
ingin kuceritakan senandung asmara
tapi hatiku selalu berduka
kerna diri kecewa

Harap kuharapkan kasihmu padaku
harap kuharapkan kan kekal selalu
Namun begitu tak mungkin menjelma
tapi ku kenang jua.

Di malam terkenang wajahmu terbayang
air mata berlinang
kurenung di bulan kuseru namamu
kerna kutak tahan merindu selalu

Bilakah derita kan ganti bahgia
hati duka lara kan sembuh semula
dapat bersama memadu asmara
kekal selama-lama

Hampir menitiskan airmata menghayati lagu ini....

Apapun, Biar takdir menentukan......................
..............????????

Ahad, 8 Februari 2009

Meluat lagi kalau OKU..



Meluat sungguh melihat lelaki yang sudah ada isteri, umur dah hampir setengah abab tetapi bermata keranjang - Buaya Darat! Lambat jumpa yang bernama perempuan berdahi licin, terus menggatal.... Tapi.... meluat lagi kalau OKU yang berperangai sedemikian....



Memanglah perasaan tak kira orang normal atau OKU tetapi kalau lebih-lebih sangat, tambahan pula OKU bangka nak ngorat cik adik normal kan memalukan? Semalam saya saksikan adegan itu kat satu pekan.... Saya rasa macam OKU tu tak sedar diri atau memang dia perasan sangat-sangat... Kenalah pandai tafsir orang layan kerana kasihan atau nak jaga perasaan. Kenalah juga bijak menilai status diri sebagai OKU. OKU pergi kemana pun memang jadi perhatian. Kalau buat perangai tak senonoh, macam-macam kutukan dan kejian yang kedengaran... Masa tu ada juga orang kasihan - kasihan angan dia tinggi sangat.... Selebihnya orang mendengus - ceh, tak padan cacat nak ngorat aku.... - Masa ni kita juga yang terasa....

Apa lagi OKU yang cacat teruk..... bersiul-siul menegur gadis.... kan aib tu....

Kalau ngorat sama-sama OKU taklah orang kisah sangat tapi kalau depan umum malu juga orang tengok.....

Lainlah kalau ngorat secara terhormat, secara senyap atau cara diplomasi.... Yang mulanya kasihan boleh jadi lama-lama akan sayang... Yang dulu hanya berkawan, mungkin suatu masa akan jadi teman......

Kepada kawan-kawan seOKU, jagalah status kita sebagai OKU. Pesan untuk kita semua termasuk untuk saya juga....

Sifat OKU adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada mereka yang pandai menilai sebab musabab dijadikan OKU..... Mungkin kalau kita tahu akibatnya, kita pun tidak mahu jadi orang normal.....

Bersyukur jadi OKU...... sangat-sangat bersyukur....

.............................................

Jumaat, 6 Februari 2009

Perak Oh Perak

Pada mulanya saya tak ingin komen apa-apa tentang apa yang berlaku di negeri Perak. Cukuplah saya berbicara dalam hati. Tetapi melihat senario yang berlaku agak jarang-jarang, saya rasa terpanggil untuk menyatakan apa yang saya rasakan.

Saya sejak dari dulu pun tidak setuju peralihan kuasa berlaku kerana kes lompat parti. Demikianlah jika 16 september menjadi kenyataan, saya sama sekali tidak akan redha. Justeru apa yang bakal terjadi di negeri Perak, negeri yang pernah tersohor dengan sejarah Pasir Salak, tidak akan sekali-kali saya terima.

Bagi saya, mengkhianati pengundi yang mengundi kerana parti yang mereka minati tiba-tiba apabila menang keluar masuk parti lain adalah sesuatu yang sangat tidak bermaruah. Mereka jadi YB kerana pengundi. Pengundi tidak akan undi mereka jika mereka bukan dari parti yang dikehendaki. Maka di sinilah terserlahlah betapa curangnya YB tadi. YB sebegini sebenarnya ada kepentingan diri. Jika benar-benar ikhlas berjuang dan jujur pekerti, mereka sepatutnya letak jawatan dan diadakan pilihanraya semua. Itu baru betul. Jika mereka naik bukan kerana orang lain, tidak siapa peduli apa yang hendak dibuatnya.

Marilah kita berdoa agar tidak ramai atau tidak ada lagi spesis jenis lompat parti wujud dalam sistem politik negara ini. Kecelaruan pegangan fahaman lebih kurang sama dengan sifat munafik.

Mudah-mudahan apa yang bakal terjadi di negeri Perak membawa kebaikan bukan terarah kehancuran. Kepada yang terlibat, sabar itu sesungguhnya benteng kekuatan hakiki. Doa orang yang kena zalim sangat diterima Allah. Berdoalah supaya Allah s.w.t tidak menjadikan ini satu landasan penghabisan kepada jalan keadilan. Ruang dan waktu masih ada untuk mengubah semua ini.

Paling lama pun PRU13 nanti. Insya Allah.

Khamis, 29 Januari 2009

Jadilah Orang Kelainan Upaya.



Kadang-kadang saya perhatikan Orang Kurang Upaya (OKU) terlalu minta diberikan hak. Sepanjang saya menjadi OKU 22 tahun lalu dan mengenali OKU menerusi persatuan-persatuan OKU dan saya sendiri sebagai jawatankuasa sebuah persatuan OKU mendapati ramai OKU (bukan semua) suka menyalahkan orang lain, mengkritik dalam semua hal. Suka meminta-minta. Tidak terkecuali dalam bab bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

Jika sebelum dapat bantuan mereka akan ke sana kemari sehingga ada yang sanggup jumpa 'orang atas' untuk dapatkan bantuan. Sudah dapat bantuan sibuk pula menyalahkan kerajaan jika bantuan lewat diterima. Seolah-olah kehendak dan keperluan OKU sahaja mesti ditepati sepanjang masa tanpa memikirkan bagaimana susahnya kerja orang yang ditugaskan untuk menguruskan bantuan.

Janganlah jadi pendesak. Kecacatan bukan lesen boleh dapat apa saja atau mesti dimanjakan dalam segenap segi. Janganlah jadi pemarah (pongoh) jika sesuatu perkara itu lambat atau cepat. Berhemahlah dalam menjalani kehidupan. Jika orang normal berkelakuan seumpama itu orang akan kata, 'sombong dia tu... atau garangnya..." Itu saja ungkapannya tetapi kalau OKU yang bertindak sedemikian, ungkapan orang akan berbunyi lain sedikit, contohnya, "sombong dia tu, tak padan dengan cacat..." atau "garangnya orang cacat ni." Ini betul. Saya pernah mendengarnya.....

Dalam bab parking, (saya tidak mahu menyentuh mana-mana artikel sebelum ini), ini pengalaman dan pemerhatian saya sendiri sebagai OKU yang menggunakan kenderaan. Saya pun rasa terkilan jika orang normal mengambil tempat parking OKU. Tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa. Itu hak dia. Sedangkan lampu merah yang boleh menyebabkan Polis saman lagikan orang langgar inikan pula parking OKU yang sekadar lambang tercetak di situ! Tempat-tempat yang menyediakan parking bertujuan baik dan mesra OKU tetapi pelaksanaannya tidak mesra OKU. Itu masalahnya. Sekarang jangan salahkan pemandu yang kurang sivik kerana kadang-kadang parking OKU berminggu-minggu tidak digunakan oleh OKU kerana mungkin OKU tidak berminat akan tempat itu. Mungkin pemandu kurang sivik fikir dari membazir ruang, lebih baik digunakan.

Soalnya sekarang, pihak pengurusan yang menyediakan parking OKU di sesuatu tempat tidak tegas dalam soal ini. Itu sebenarnya penambah sikap tidak bertanggungjawab dan ambil kesempatan. Cuma janganlah menunjukkan sikap kita sebagai OKU yang terasa bagaikan teraniya berlebihan dan bertindak keterlaluan....

Seperkara lagi (sebelum saya lupa), segelintir OKU (Islam) tidak menunaikan solat lima waktu, mereka jadikan kecacatan bagaikan satu alasan untuk dikecualikan menunaikan perintah Allah. Sebagaimana mereka dikecualikan dari bayaran hospital, potongan tiket bas, kapalterbang, keretapi, potongan penggunaan telefon dan sebagainya, maka mereka juga mengecualikan diri untuk bersolat atau melakukan ibadah lain. Mengapa OKU yang suka melenting bab lain tetapi tidak dalam isu ini? (Bab solat, kategori OKU akal MUNGKIN boleh dikecualikan tetapi OKU kategori lain masih terikat dengan perintah wajib ini).

Solat bukan hal peribadi! Masih ada ruang untuk ingat mengingati... Di sisi Allah, kita semua sama sahaja...

Justeru, saya mengingatkan diri saya, mengingatkan kawan-kawan, jadilah OKU normal bukan OKU istimewa....JANGAN JADI ORANG KURANG UPAYA TETAPI JADILAH ORANG KELAINAN UPAYA.

Selasa, 27 Januari 2009

Kasihani Palestin, Muhasabah Diri....


Sejak lama dahulu memang kita tahu bahawa Israel memang membuli rakyat Palestin. Saya tidaklah tahu sangat tentang sejarah mereka tetapi maklum bahawa Israel memang laknatullah berdasarkan perbuatannya selama ini. Tambahan lagi dengan sekutu rapatnya USA yang sentiasa menyokong.

Dalam bab boikot, sepatutnya kita mesti menetapkan dalam hati dan mengharamkan barangan keluaran yahudi-yahudi memasuki rumah kita sejak dahulu. Bukan apabila berlaku seperti sekarang baru sibuk hendak boikot.

Dalam pada kita sama-sama menitiskan air mata, saling boikot-memboikot sewaktu melihat keganasan Israel dan sekutunya, kita juga perlu muhasabah diri..... Merenung dan menilai tahap kualiti keimanan dan perbuatan yang ada pada kita.... Ya, kita tahu bahawa setiap kejadian di atas muka bumi Allah s.w.t ini ada hikmah dan musabab. Contohnya jika kita malas belajar pada kebiasaannya kita akan gagal, jika di rumah kita selalu membazir makanan, balasannya rumah kita akan dipenuhi tikus dan lipas atau jika kita lalai, 'manggok' (istilah Kelantan)atau mengantuk semasa memandu silap haribulan kita akan kemalangan dan juga contoh mudah, jika terlibat dengan najis dadah, seks bebas suatu masa akan terkena penyakit aids. Lihatlah contoh yang jelas, sejarah satu kaum yang ditimpa bala oleh Allah kerana kebebasan homoseks.....

Demikianlah apa yang berlaku di mana-mana di dunia ini hatta Palestin.... Sebagaimana kata pepatah 'kita akan tuai apa yang kita tanam'... Jadi firman Allah s.w.t yang bererti lebih kurang:- Nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya boleh juga kita fikirkan bahawa apa jua nasib yang menimpa ke atas sesuatu kaum itu adalah kerana mereka sendiri yang mengubah sedemikian rupa....

Bala yang ditimpakan ke atas individu atau kaum itu berpunca dari kaum itu sendiri yang melakukan kesilapan..... Allah jua Yang Maha Mengetahui...

Justeru sementara kita berdoa kehadrat Ilahi agar kesengsaraan Palestin ditamatkan, kita juga perlu jadikan ianya satu iktibar yang maha menginsafkan....

"Ya Allah, Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui perkara tersembunyi, aku bermohon sepenuh jiwa ragaku, tamatkanlah penderitaan umat-Mu seagama denganku di Palestin dan di seluruh alam maya ini dan jauhilah sejauh-jauhnya kecelakaan itu menimpa aku, keluargaku, kaum kerabatku, sahabat-sahabatku, jiran-jiranku dan saudara seagama umat Rasulullah s.a.w. Ya Allah, perkenankanlah....."

/;'/;'/;'/;'/;/