Ahad, 3 Oktober 2010

Dibohongi

Sesungguhnya apabila kita menyayangi sesaorang kita akan menjadikan dirinya tempat mencurahkan segala kasih sayang. Bahkan rahsia dan hal-hal peribadi akan menjadi hak milik bersama. Kita percaya dan yakin dia juga akan turut menyimpan segala rahsia


Jadi, mulai saat itu pasti perasaan curiga  akan sentiasa menghantui kita....

Yang paling pelik...kita tetap sayangkannya......

Khamis, 2 September 2010

Semakin Hampir Berlalu











Semakin hampir Ramadan akan berlalu meninggalkan kita dan setahun kemudian akan datang lagi. Entahkan dapat entahkan tidak bertemu lagi dengan bulan mulia ini. Namun kita sering berdoa agar dapat ketemu lagi untuk menikmati anugerah Ilahi ini.

Kemudian InsyaAllah, pada 1 Syawal ini kita akan meraikan kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri. Sementara ada kesempatan ini, saya dan keluarga, memohon ampun dan maaf jika sepanjang blog ini beroperasi mengguris hati atau termakan lada namun ianya pasti kebetulan.

Pasang pelita tujuh likur
buat ketupat bersama-sama
Hari Raya tanda bersyukur
Mudah-mudahan amalan diterima

Riuh rendah gegak gempita
membeli mercun di kedai nyonya
ampun dan maaf mohon dipinta
lumrah insan demikian takdirnya

Rabu, 11 Ogos 2010

Ramadhan Singgah Lagi

Alhamdulillah....Saya sempat lagi untuk kali ke 48 menemui bulan yang mulia, Bulan Ramadhan. Dan kalian juga pasti bersyukur kerana dapat bersama di bulan yang penuh berkat ini. Bulan lain pun berkat tetapi bulan Ramadan lebih berkat kerana kita sentiasa pasrah, redha dan rendah diri dengan keadaan seharian seperti orang miskin, yang tidak menjamah apa-apa juadah di siang hari. Dan apabila malam, bila sendirian kita pasti memikirkan kehidupan kita.


Terlalu banyak yang hendak dipohon dari Allah s.w.t. di bulan ini. Marilah kita semua mengambil peluang beribadat dengan penuh ikhlas dan jiwa yang suci murni...


Berdoalah semoga kita dipanjang usia untuk menemui semula Ramadan pada tahun berikutnya supaya kita terus boleh beramal dan beribadat kepadaNya dengan cara zuhud....


...dan jangan jadikan bulan ini bulan melepaskan segala dendam.....

Selasa, 27 Julai 2010

Kepercayaan.

Mempercayai kenyataan orang lebih mudah dari menyakinkan orang mempercayai kenyataan kita. Itulah hakikat yang terpaksa kita tempuhi dalam kehidupan. Apa lagi kenyataan yang kita berikan tidak dengan bukti. Sekarang orang mempercayai dengan bukti sahaja. Namun ada kenyataan yang benar tetapi tidak boleh beri bukti kerana mungkin ada beberapa sebab. Hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

Tetapi percayalah bahawa kita mudah mempercayai seaorang jika kita selalu bercakap benar dan orang yang selalu curiga dengan kenyataan orang lain mungkin dia sendiri selalu bercakap tidak benar.

Dan bila kenyataan kita tidak dipercayai, apa lagi sudah ada tanda-tanda kita tidak bercakap benar sedangkan kita bercakap benar maka kita perlu berdiam seketika. Suatu masa, jika kita tidak benar, akan terserlah juga ketidakjujuran kita membuat kenyataan. Dan jika kita benar, akan terbukti kebenarannya suatu masa kelak.

Oleh itu, jika kita rasa curiga kepada sesuatu kenyataan, maka carilah kebenaran itu dalam diri kita sendiri....

Insya Allah kita akan temui kebenarannya....

Sabtu, 24 Julai 2010

Cinta 4 Segi


Cinta tiga segi memang lazim kita dengar dan lihat. Tetapi cinta empat segi agak jarang-jarang atau mungkin tidak pernah kita dengar. Kalau cinta tiga segi selalunya melibatkan dua wanita / dua lelaki seorang lelaki / seorang wanita. Apa yang berlaku kepada kawan saya ialah dia terlibat menyintai 3 orang wanita termasuk isterinya. Dua wanita lagi hadir dengan keadaan terhalang dan terlarang.

Hendak dibuang mati emak, hendak diitelan silap haribulan dirinya sendiri kemungkinan mati. Hendak tidak hendak, terpaksalah berahsia dengan segala kekuatan yang ada. Selagi boleh rahsia, dia akan rahsiakan sampai mati.

Uniknya cinta ini. Tidak kira siapa yang dicintai. Bila sudah jatuh cinta semuanya indah. Buruk pun jadi cantik.

Saya nasihatkan kawan saya, jangan bermain api kerana api jika dalam sekam lambat laun akan membakar seluruh timbunan sekam. Kawan saya kata, dia terpaksa kerana menyayangi ketiga-tiga wanita tersebut dan wanita-wanita itu pula menyayanginya, apa lagi isterinya. Dia tidak sanggup berpisah dengan mana-mana wanita tersebut. Kalau dia mampu, dia ingin mengahwini mereka, sayangnya dia tidak mampu dari segi ekonomi.......

Saya katakan, jika sudah tahu sampan kecil, jangan mengharungi ombak di lautan luas, kelak karam tidak bernesan. Kawan saya kata, kesemua wanita itu sanggup hidup dengan seadanya....... saya kata semua orang sanggup apa saja sebelum kahwin, sudah kahwin baru macam-macam tuntutan. Dia kata, isterinya sekarang boleh hidup seadanya. Betul, kata saya sebab sekarang dia memiliki seorang saja isteri. Bila sudah tiga isteri tidak mustahil masing-masing saling iri hati dengan apa yang madu-madu dia ada. Lebih baik jangan, sambung saya lagi.

Sebab itu kawan saya kata dia merahsiakan segalanya.......Cukuplah manisnya bercinta...... Hmmmmhhh...Keluh saya.....