Jumaat, 11 September 2009

Taksub Kepada Bomoh

Seorang kawan (Z) bercerita, dia dituduh mengilmukan isteri kawannya K. Cerita bermula apabila isteri K yang juga kawan kepada isteri Z bekerja di syarikat Z.Oleh kerana selalu balik lewat dan malam-malam bertalipon, K jadi cemburu. K mula curiga dan dalam senyap-seyap dia bertemu seorang bomoh di utara Kelantan. Entah macamana cerita, bomoh itu menujum mengatakan isteri K terkena ilmu Z semasa mereka out station di Pulau Pinang. Kononnya Z menggunakan ilmu tiup ke muka. Maka kononnya isteri K pun tergila-gilakan Z.

Tetapi walaupun bomoh itu memberi minum air jampi dan sebagainya isteri K tetap tidak berubah sentiasa sibuk dengan tugasnya di syarikat Z. Isteri K tetap tidak mahu berhenti kerja walaupun K memaksanya. K terus berusaha mencari bomoh lain sehinggalah mencecah dua puluh orang. Yang peliknya, kalau Tok Alim atau Tok Lebai kata isteri K bukan terkena buatan orang tetapi memang perangai isterinya, K tidak mempercayainya tetapi jika ada bomoh khurafat berkata dibuat orang dia terus percaya dan menuduh kawannya Z.

Bukan setakat itu sahaja, K membawa cerita kepada semua kaum keluarga dan kawan-kawannya bahawa Z mengilmukan isterinya. Habis keluarganya mengancam hendak membelasah Z. Bahkan bapa K cuba merempuh Z ketika bertemu di masjid. Mujur tidak terjadi kes.

Z kata kalau betul dia ada ilmu boleh membuat orang gilakan dia, dia tidak akan ilmukan isteri K yang sudah mempunyai 8 orang anak itu. Kalau betul dia ada dia akan ilmukan anak dara......

Isteri K tidak juga berubah walaupun dah berpuluh bomoh ditemuinya. K semakin taksub kepada bomoh. Sebut saja ada bomoh dia akan jumpa walaupun habis beratus ringgit. Isteri K kata kenapa suaminya tidak minta bomoh-bomoh yang dia jumpa itu membuat pembenci supaya dia membenci kepada Z dan tidak bekerja di situ lagi. Dia bekerja kerana ada alasan tersendiri.

Walau bagaimanapun untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku berikutan K sendiri mengancam Z, maka Z memberi cuti tanpa gaji kepada isteri K untuk meredakan keadaan. Namun begitu, K sentiasa mengancam Z. Hubungan persahabatan sudah putus......

(Cerita ini banyak yang boleh dipersoalkan.........................)

Isnin, 7 September 2009

Kenangan Silam - Memori Remaja.

Tika sendirian di depan monitor usang, kuteringat puisi-puisi lama yang banyak tersimpan dalam fail. lalu kucapai sebuah fail puisi lama yang kukarang puluhan tahun lepas. Setelah membelek-belek kuterjumpa sebuah puisi yang sangat meninggalkan kesan zaman keremajaan dahulu.... walaupun puisi ini tidak bernilai sastera tetapi sengaja kucatatkan di sini supaya ingatanku tidak nyanyuk.....
PUISI PENGEMIS CINTA II
Misteri apakah semalam Shafira
bahtera belayar di samudera sepi
karam tanpa kematian
pulau bahagia hanyut tenggelam
mata tercapai tangan tak sampai.

I - Musim berganti zaman
     variasi memisahkan perjalanan
     remajamu melangkah dewasa
     harapan memuncak ketandusan upaya
     kau berlegar di ruang masa
     aku menanti dalam mitosis usia
     terpaku di depan tabir waktu.

     Lagenda uda dan dara
     mimpi sekadar melembutkan perasaan
     lalu terjaga diulit keresahan
     bangkit memandang pilu
     setitik
     setitik
     airmata membilang bilah-bilah kehampaan
     kau dengan mercu kejayaan
     melangkah membina sempadan kita.

II - Saat tawa memenuhi kerianganmu
      aku menyusur luka-luka duka
      menyentuhi serpihan cinta terpadam
      ketewasan dari pengemisan semalam
      menghantar aku ke dasar kekecewaan.

     Pengemis-pengemis seperti aku
    dinafikan ruang teduh cinta
     membiarkan kasih bertaburan, bergelimpangan
     kepanasan dibakar penantian
     kedinginan diselimuti kerinduan

Realiti menyedarkan aku Shafira
jurang antara kita ciptaan insan
kita antara jurang ciptaan Tuhan
egoistik, materialistik dan keupayaan
menjarakkan titik pertemuan
dan tidak mungkin bertemu lagi.....

......................dan bila teringatkan sebab-sebab lahirnya puisi ini, air mata hampir menitis......

Jumaat, 28 Ogos 2009

Teka teki yang masih jadi teka teki

Tetiba suatu malam saya teringat satu kenangan lama ketika saya mengikuti arwah abang saya membuat "homework" bersama kawan-kawannya. Masa itu umur saya baru 15 tahun. Selepas mentelaah pelajaran, abang dan kawan-kawannya berehat sambil mengemukakan teka teki untuk menghiburkan hati. Dalam banyak teka teki itu ada satu teka teki yang sampai sekarang tidak berjawab secara jelas.

Teka teki berbunyi: Ada tiga orang sahabat pergi makan di satu restoran. Selepas makan, mereka memanggil pelayan untuk mengira harga makanan yang telah dimakan. Pelayan itu kira dengan cepatnya dan berkata semuanya RM30. Tanpa bersoal jawab, tiga sahabat tadi mengeluarkan wang sebanyak RM10 seorang dan diberikan kepada pelayan tadi. Pelayan tadi pun membawa duit RM30 tadi kepada taukey kedai. Setelah meneliti dengan teliti harga makanan, taukey kedai suruh kembalikan RM5 kepada tiga sahabat tadi kerana sebenar ialah RM25 sahaja. Pelayan tadi pun pergi semula ke meja tiga sahabat tadi tetapi sebelum sampai ke meja mereka, dia telah mencuri RM2.  Selebihnya RM3 diberikan kepada tiga sahabat tadi. Masing-masing mengambil RM1 seorang. Ini bermakna setiap sahabat tadi mengeluarkan RM9 seorang untuk membayar makanan yang dimakan tadi.(Betul lah sebab mula-mula bagi RM10 seorang kemudian dapat baki RM1, maknanya beri RM9)

Jika RM9 seorang keluarkan duit, tiga orang bermakna RM27. Cuba tambahkan dengan duit yang pelayan curi tadi RM2, jumlahnya RM29. Soalannya, di manakah hilangnya RM1 lagi??? Sebab jumlah semua duit yang berkisar ialah RM30.

Kawan-kawan abang saya cuba jawab dengan pelbagai idea tetapi semuanya buntu. Dan yang menyoal soalan itu juga sebenarnya tidak tahu jawabannya.

Saya sendiri juga selepas itu meneka soalan ini kepada kawan-kawan saya dan sampai sekarang tidak ada yang menjawab dengan sebenar-benar jawapan dan  saya pun tak tahu jawapannya....

Teka teki itu masih jadi teka teki sampai sekarang.... Ada sapa-sapa tahu?

Khamis, 27 Ogos 2009

Bertaubat Dalam Bulan Ramadan




Bertaubat sebenarnya bukan sahaja dalam bulan Ramadan tetapi kesempatan pada bulan yang penuh barakah ini sebenarnya banyak memberi kelebihan. Suasana di bulan lain tidak seperti bulan ini. Pada bulan ini kita merasa kasihan pada semua insan termasuk kepada diri sendiri. Ini kerana kita berada dalam keadaan yang lapar dan dahaga. Hati mudah tersentuh dan sensitif. Oleh yang demikian bila berdoa dan memohon keampunan dari Allah s.w.t saat diri kita yang berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya (kesan dari puasa), jiwa kita terasa kecil dan hina dengan dosa-dosa yang pernah kita lakukan sebelum ini. Apa lagi jika dosa besar yang kita lakukan.

Saat kita mengangkat tangan memohon doa keampunan, saat itu kita merasakan Allah memerhati kita dengan paparan segala rahsia dosa yang kita lakukan sebelum ini samada secara terangan atau tersembunyi. Kita mengaku kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan. Kita menyatakan kekesalan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi segala kesilapan tersebut di masa depan. Maka saat itu, jarang insan yang tidak mengalirkan air mata kerana kekesalan kecuali hati orang yang tidak betul-betul menyesal atau tidak ikhlas mahu taubat nasuha.

Allah s.w.t sentiasa mengampunkan segala dosa jika kita benar-benar inginkan keampunannya kecuali dosa syirik. Oleh yang demikian, sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya menyeru kepada diri sendiri dan pembaca blog sekelian, marilah kita semua bertaubat dengan bersungguh-sungguh di samping menjalankan amalan yang memberi saham yang menguntungkan di akhirat.

Sama-sama kita menjalankan ibadat puasa dengan penuh keinsafan........

Isnin, 17 Ogos 2009

Pasal wanita...


Saya teringat kata-kata seorang Pegawai di suatu Daerah yang berkata, " sebagai ketua jabatan, atau pengerusi kita mesti bersikap professional dalam melayan anak buah atau staff. Tidak boleh jatuh cinta kepada kakitangan bawahan kita....Kalau ada perasaan itu, sebagai ketua kita perlu buang jauh-jauh...."


Saya renung mata pegawai wanita yang belum kahwin itu dalam lingkungan umur 27 - 29 tahun dengan penuh persoalan. Saya tidak berpeluang berbincang jauh tentang perkara itu dan saya tidak mahu persoalan awal saya iaitu, "salahkah kalau saya jatuh cinta dengan orang bawahan saya?" disalahtafsirkan....
Apa yang saya fikirkan selepas itu ialah perasaan hati lelaki dan wanita. Ada satu hadis yang saya rasa kalau tidak silap membawa maksud, "jangan kamu pandang wanita bukan muhrim kamu lebih dua kali. Tetapi saya faham bahawa hadis ini bukan sahaja ditujukan kepada lelaki sahaja, tetapi juga kepada perempuan kerana perempuan juga ada yang suka pandang, jeling, renung dan main mata dengan lelaki bukan muhrim mereka walaupun bersama suami ketika itu. Jangan menidakkan fakta ini kerana lazimnya wanita dan lelaki sama sahaja dalam konteks perasaan. Cuma jika wanita berperangai seperti itu sungguh tidak 'comel'.

Ada wanita yang nampak serius ketika di khalayak ramai, contohnya ketika makan di restoran tetapi cara dia memperagakan wajah, raut muka, jelingan dan renungannya mudah diketahui bahawa dia sedang mengambil perhatian sesaorang lelaki di situ. Kadang-kadang dia tidak minat kepada lelaki yang ada di situ tetapi dia bangga atau gembira jika lelaki itu asyik pandang padanya, apa lagi jika memberi senyuman. Dia puas jika ada lelaki tergoda atau terpikat dengan dirinya sebab cara dia menampilkan diri memang ingin mengambil perhatian. Sekurang-kurangnya hatinya berbisik, "lawa aku ni...." Dan perempuan jenis ini suka bertemu mata dengan lelaki...bertentangan dan mengharapkan lekaki itu berkenan padanya... walaupun dia sendiri tidak berminat... Pelik tapi ini benar....

Ada juga wanita yang suka memberi peluang atau membuka jalan kepada lelaki memandangnya, menegurnya dan jatuh hati kepadanya menerusi bahasa badan atau kata-katanya. Contohnya jika ada lelaki berkata, " minta lalu sikit..." Dia pun segera menjawab, "minta lalu saja? Tak nak minta lain-lain lagi?" Ini maknanya dia buka jalan kepada lelaki itu untuk meneruskan percakapan dan akhirnya berkenalan dan sebagainya.... Begitu juga bahasa badan, dia akan pura-pura lurut betis, peha, atau membaiki baju di bahagian "susu"nya atau memuncungkan bibir atau menjilat bibir. Berjalan sendirian...... Banyak contoh lain..... Tetapi perlu diingat bahawa wanita yang baik tidak akan bersikap seperti di atas.... TETAPI ingat juga bahawa sifat sebegini sama sahaja keburukannya kepada lelaki atau perempuan.

Wanita yang baik tidak menimbulkan fitnah, tidak membuat fitnah. Wanita yang baik juga tidak akan memandang lelaki bukan muhrim atau tidak dikenalinya melebihi batasan yang dibenarkan.......

Berbalik kepada cerita pegawai wanita tadi, saya kadang-kadang sukar untuk membaca hatinya kerana wajahnya yang selamba dan bersahaja. Pada logiknya dia seorang cantik, menawan dan muda tidak mungkin terlibat dalam kancah percintaan? Pada staffnya mungkin tidak tetapi pada orang lain? Saya pernah tanya dia, " Cik dot-dot pernah bercinta?" Dia jawab sambil tersenyum, "kita sedang bekerja ni, jangan cakap pasal peribadi..." Sama ada dia malu nak bercakap pasal ini atau dia memang dan frust berkali-kali.. wallau a'lam....