Ahad, 23 Ogos 2015

BICARA REZEKI

Semua rezeki datangnya dari Allah. Tidak kiralah dia berusaha atau tidak, Islam atau kafir, kaya atau miskin, cerdik atau bodoh, hakikatnya rezeki yang datang itu semuanya dari Maha Pemberi Rezeki, Allah s.w.t. 

Kadang-kadang kita tidak faham rezeki yang dikurniakan. Apabila perpatah berbunyi, "rezeki secupak tidak akan jadi segantang" dikeluarkan, kita akan memandang semua rezeki datangnya dari usaha kita. Ya betul, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya namun, semua perubahan itu hanya Allah yang mengetahui dan melakukannya. Sebagaimana rezeki, kita wajib berusaha tetapi jika Allah tidak izinkan, usaha akan jadi sia-sia. Sebab itu, berdoa hendaklah sentiasa ditadahkan walaupun kita tahu kita akan pergi kerja dan rezeki sudah pasti akan diperolehi terutama yang kerja tetap.

Walaupun kerja tetap, tidak semestinya kita akan dapat rezeki sebanyak yang kita dapat lazimnya kerana bulan itu mungkin kereta rosak, mungkin ada sakit demam, mungkin ada kehilangan barangan, atau sebagainya, ketika ini, rezeki yang kita perolehi tetap setiap bulan tidak lagi sebagaimana jumlah biasa dan yakinlah bahawa semua itu ditentukan oleh Maha Kuasa.

Ada mereka menakutkan emosi dengan berkata, macamana hendak kawin sedangkan tidak ada sumber pendapatan, tidak perlu anak ramai jika miskin dan sebagainya, walhal rezeki diatur oleh Allah semuanya. Bukan kita yang menyediakan rezeki untuk anak dan isteri. Malah rezeki kita pun Allah yang sediakan. Jadi takut apa untuk memiliki anak ramai atau isteri yang lebih dari satu?

Demikian juga ada antara mereka saat miskin tidak mahu bersedekah dibimbangi habis wang atau rezeki yang ada, padahal, rezeki akan bertambah jika bersedekah. Bab ini pun ramai yang tidak begitu yakin. Walau bagaimanapun percayalah, jika kita mengamalkan bersedekah, insyaAllah akan digandakan rezeki terhadap kita. Jangan mudah terperngaruh dengan bisikan iblis saat kita hendak bersedekah akan kendengaran di minda kita " kalau kau sedekah nanti orang kata kamu menunjuk" "Tak payah beri derma, dia orang ni malas kerja" kalau kau tak beri pun, ramai lagi orang lain beri, jadi tak susah dia" dan lain-lain bisikan. Semua ini penghalang kepada murah rezeki.

Justeru, memohon doa dan melakukan solat sunat Dhuha adalah satu ikhtiar utama mendapatkan rezeki secara batin. Sekadar memperingati, ada setengah ulama mengamalkan doa ini pada sujud yang terakhir solat Dhuha. Caranya ialah membaca 10 kali pada sujud terakhir dan dikhabarkan akan mendapat rezeki yang tidak dijangka pada hari tersebut. Wallahu alam. Berdoa dan berusaha kemudian bertawakkal....