Sabtu, 27 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Akan berlalu Ramadan dan kemudian muncul Syawal. Dalam kepiluan meratapi pemergian bulan keberkatan, Ramadan al-Mubarak, kita juga patut teruja untuk menempuhi bulan yang penuh kesyukuran dan menempa kejayaan. Pada bulan ini, Syawal, kita akan merayakan kemenangan setelah sebulan menjalani ibadat puasa, rukun Islam yang ketiga.

Kehadiran lebaran ini, masing-masing mempunyai kelainan rasa. Ketika ada yang rasa teramat gembira menermui keluarga di kampung, ada juga yang pilu merindui kedua ibu bapa yang telah kembali pada Ilahi. Yang ada mentua mungkin bolehlah mencium kedua tangan mereka menggantikan ibubapa sendiri. Yang tidak ada kedua-dua, maka carilah sesiapa yang layak yang ada pertalian saudara untuk dipanggil ibu atau ayah untuk mencium tangan keduanya sebagai tanda kita menyayangi kedua ibu bapa kita juga. (Ada sebuah hadis berkaitan).

Bulan yang mulia ini, sama-samalah kita bermaafan. Mungkin pada hari raya ini kita perlu pasrah dan berterus terang dengan orang tersayang menyatakan kesilapan yang telah kita lakukan tanpa pengetahuannya. Terutama suami isteri. Bermaafan hendaklah ikhlas. Sesuci lebaran, demikian juga hati ketika menyambut salam sahabat  handai, saudara mara dan kaum keluarga, biarlah seikhlas dan bersih suci.

Kepada pembaca blog saya, ampun dan maaf jika ada yang terasa hati, kecewa dan marah. Sesungguhnya saya hanyalah insan biasa yang tidak pernah lepas dari dosa-dosa.

"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku tidak layak masuk ke syurga-Mu tetapi aku tidak sanggup menerima siksaan neraka-Mu. Oleh yang demikian, ampunlah dosa-dosaku, Tuhan yang Maha Pengampun dosa-dosa besar..."

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Isnin, 22 Ogos 2011

Malam Lailatul Qadar


Kata sesetengah ulama, Lailatulqadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan Lailatulqadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.

Menurut mereka sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari :

  • Ahad atau Rabu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29.
  • Jumaat atau Selasa Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-27.
  • Khamis = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-25 Ramadan.
  • Sabtu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-23.
  • Isnin = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-21.

Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini.

Tanda Dan Alamat
Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan macam-macam lagi.

Hikmah
Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam Lailatulqadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar

Oleh itu bersolatlah dengan tekun dan berterusan terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini. Walau tinggal beberapa hari saja lagi malam-malam di bulan Ramadhan, pastikan kita menjadi juara diakhirnya nanti. Semoga Ramadhan kali ini menjanjikan kita kemenangan. Kemenangan melawan dan menguasai hawa nafsu. InsyaAllah.

Sumber : iLuvislam.com

Pak Ale berpendapat: Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana...Andaikata kita mengetahui tibanya malam LailatulQadar, apakah malam-malam yang seterusnya kita akan biarkan begitu saja? Oleh yang demikian, apabila membuat amalan pada malam hari di bulan Ramadan, anggaplah setiap malam dalam bulan Ramadan adalah malam LailatulQadar...Malam yang terlebih baik seribu bulan.....Lagipun, bukan semua orang akan mendapat kelebihan ini....maka sama-sama kita berdoa diberi peluang setahun sekali ini...Yang penting jangan yakin sangat malam-malam tertentu itu malam LailatulQadar sehingga kita mengurangkan amalan kita pada malam keesokkannya... .

Isnin, 8 Ogos 2011

Sukarnya menceraikan kekasih...

Bulan Ramadan memberi banyak ruang minda kita berfikir dan mengenangkan segala-gala yang berlaku sepanjang masa lalu. Jika ada perkara-perkara kebajikan yang dilakukan, kita perlu meningkatkan mutu keikhlasannya supaya kita mendapat keredhaan yang sejati dari Allah s.w.t. Dan cuba pastikan apa yang kita buat semata-mata kerana-Nya.

Dan bulan Ramadan juga apabila kita memikirkan sesuatu yang berada dalam dilema sebagaimana mempunyai kekasih yang sukar untuk dimiliki disebabkan beberapa faktor maka sesungguhnya terlebih sukarnya untuk kita melupakannya apa lagi untuk menceraikannya. Saat memikirkan semua ini, rasa belas, simpati, dan hina pada diri sendiri. Tidak mustahil saat itu juga ada kalanya air mata berlinangan. Bak kata pepatah, ditelan mati mak, diluah mati bapak.

Hendak memilikinya adalah mustahil, hendak meninggalkannya juga mustahil, jadi apa lagi yang boleh dilakukan melainkan menanggung perasaan yang tidak terperi derita rindunya. Memahami perasaan sendiri bukan sesuatu yang senang kerana kita kadang-kadang tahu kita membohongi perasaan kita sendiri seperti menangis bagi menandakan sedih walhal hati kita tidaklah sesedih mana, cuma barangkali pada bulan puasa ini, dengan rasa lapar, letih dan dahaga membuatkan kita rasa kecik hati dan mudah tersentuh. Maka bayangkan untuk menceraikan  kekasih yang terlalu disayangi pada ketika jiwa yang terlalu sensitif dek kerana lapar, dahaga, insaf, tawaduk dan rasa pengorbanan pada bulan yang teramat mulia ini?

Mungkin bulan Ramadan inilah masa yang sesuai untuk berfikir dan muhasabah untuk mencari kepentingan dan keperluan mempunyai kekasih itu. Dan jika kita tidak mampu jua membuat keputusan adalah terlebih baik sepanjang bulan ini bersolat istikharah dengan mudah-mudahan ada satu malamnya adalah malam lailatul qadar yang mana peratus doa kita dimakbulkan lebih banyak......

Namun begitu, percayalah, untuk menceraikan kekasih lebih sukar dari menceraikan apa saja dalam dunia ini kecuali perokok yang akan memilih rokok perkara paling sukar untuk diceraikan....

Khamis, 4 Ogos 2011

Malam Lailatul Qadar


10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.
Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sebab turun surah al-Qadr
Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.
Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya: "Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya"
Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."
Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar
Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.
Doa khusus di Malam Lailatulqadar
Doa tersebut diterangkan di dalam hadis berikut
1. Hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.
Maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut"
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silaf hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silafku. Terdapat juga beberapa doa yang disar ankan oleh para alim ulamak kita melakukannya seperti membaca doa
Orang yang beribadah pada 10 malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatulqadar ujud pada salah satu malam yang 10 itu terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatulqadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting yang tersebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:
1. Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
3. Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatnya dan keredaannya.
Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam Lailatulqadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.
Tanda Malam Lailatulqadar
Para alim ulamak r.h. menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatulqadar:
- Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatulqadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala cerok yang gelap gelita.
- Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat.
- Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
- Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.
Imam Tabari r.h. memilih kaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui malam Lailatulqadar.