Isnin, 28 September 2009

Persepsi Merajuk



Setiap insan pasti pernah merajuk. Merajuk adalah satu perlepasan perasaan untuk menyatakan kerendahan diri, hati terasa, sedih, untuk menginsafi, untuk muhasabah diri, menyatakan perasaan kecil hati atau dan berbagai tujuan lagi.

Cara merajuk pun ada macam cara. Sesetengahnya menyepikan diri, yang ada jawatan ugut atau terus lepaskan jawatannya, yang ada kawan memulaukan diri sendiri dan lain orang lain rajuknya.

Pada yang ada kekasih, akan merajuk dengan tujuan untuk dipujuk agar kemesraan dapat dilebihkan. Ada juga kekasih merajuk untuk menilai sejauh mana sayangnya dia kepada kekasihnya.

Tetapi merajuk yang saya ingin ketengahkan kali ini adalah rajuk seorang kerana usahanya tidak dihrgai, malah diperlekehkan. Bila diperlakukan begitu...... Tuhan sahaja tahu betapa kecilnya hati.....

Ada seorang yang berusaha membawa kemajuan pada sebuah rumah kebajikan. Dia bekerja siang malam tanpa memikirkan upah kerana memang itu kerja kebajikan. Tujuannya satu iaitu untuk kepentingan orang lain. Baginya, dirinya tidak penting asalkan dia dapat buat kebajikan dengan seikhlas seadanya. Dia gunakan segala pengalaman, kebijaksanaan dan ruang masanya semata-mata untuk rumah kebajikan dan penghuninya.

Malangnya apabila timbul satu masalah yang ditimbulkan orang lain, tiba-tiba dia dipersalahkan dengan sepenuhnya. Sapa yang tidak kecil hati bila diucapkan, "awak sebenarnya tidak perlu ada di rumah kebajikan ini....cukuplah datang sekali sekala sahaja untuk memantau...."

Terasa tidak dihargai dengan segala usaha yang dilakukan, akhirnya seorang itu menyepikan diri dan merasa dirinya seperti kacang... sudah dapat isi, kulitnya dibuang.....

Juga.... Masa perlu ditatang, masa bosan ditendang..... Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi..... masa belajar jadi pelajar, sudah pandai kurang ajar....(kasar ke? maaf)....

...dan banyak lagi perumpamaan yang boleh dibandingkan tetapi apa gunanya kalau yang terlibat tetap tidak terasa apa-apa... malah mencebih bibir menganggap seorang itu yang salah faham... seorang itu yang tidak mahu mengakui kesilapannya... dan pelbagai anggapan lagi..... sekali lagi seorang itu dipersalahkan kerana mudah sangat merajuk....

...dan yang dapat dikenalpasti.... panas setahun cukuplah dengan hujan sehari.... habis semua basah...maknanya.. buatlah baik sebanyak manapun tetapi jika sekali buat salah... yang salah itulah akan dikenang orang.... segala jasa budi dan pengorbanan selama ini hilang entah kemana... adilkah dunia???

Ahad, 20 September 2009

Lebaran 1430H telah tiba.



Setelah 29 hari berpuasa, kini menjelma Hari Lebaran, 20 September 2009. Hari menyatakan kesyukuran setelah berjaya menamatkan sebulan bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi juga menahan diri dari segala kebiasaan. Yang wanita sebelum ini penuh make-up di muka masuk bulan puasa wajah asli dipamerkan.

Yang suka mengumpat akan mengurangkan aktiviti tersebut. Yang lelaki apabila masuk waktu Isyak, masing-masing berjemaah di masjid untuk bertarawih. Wanita juga begitu. Tetapi itu yang suka dengan ibadat dan tahu kelebihan bulan Ramadan. Yang tidak sedar diri, baginya sama sahaja bulan mana-mana pun. Tidak akan terdetik apa-apa dalam sanubarinya kecuali berharap cepat-cepat bulan Ramadan berlalu....

Pada Hari bahagia Aidilfitri ini, pelbagai ucapan diterima sama ada melalui kad ucapan atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), e-mail dan lain-lain. SMS paling popular. Saya ingin kemukakan beberapa petikan ucapan menerusi SMS yang masuk ke dalam telefon saya.

"Jika kesilapan semalam belum terampun, maafkanlah. Jika Kesilapan Hari ini menyakitkan hati lupakanlah, jika kesilapan esok datang, janganlah bawa ke akhirat. Ingin saya menyusun sepuluh jari, mohon kemaafan zahir dan batin. SALAM AIDILFITRI."

"Tiba Syawal berakhir Ramadan, Aidilfitri menghujung puasa, tangan dihulur simbol bermaafan, hening bersih segunung dosa, Selamat  Hari Raya Aidilfitri."

"Ukhwah itu terletak pada pertemuan, bukan pada manisnya ucapan di bibir, tetapi pada ingatan sesaorang terhadap saudaranya di dalam doanya (Imam Al-Ghazali). Selamat Raya Aidilfitri...."

"Indah langit kerana awan, indah laut kerana kebiruan, indah Aidilfitri kerana kemaafan, indah Aidiladha kerana pengorbanan, Selamat Menyambut Aidilfitri, Maaf Zahir Batin..."

Begitulah antara SMS yang saya terima sepanjang tahun ini....

KESEMPATAN INI SAYA MENGUCAPKAN RIBUAN AMPUN DAN MAAF JIKA SEPANJANG MENGENDALIKAN BLOG INI ADA  MENGGURISKAN HATI SESIAPA. TIDAK ADA NIAT SEDEMIKIAN......

SELAMAT HARI RAYA....MAAF ZAHIR DAN BATIN......

Selasa, 15 September 2009

Cinta sebelum & Selepas Kahwin

Sesungguhnya menyintai sesaorang adalah sesuatu yang sangat membahagiakan walaupun pelbagai rintangan dan halangan terpaksa dihadapi. Jika kekuatan cinta benar-benar utuh, pendek kata ombak dan badai, duri dan ranjau, tidak akan menghakis perasaan cinta. Bahkan ianya bertambah kuat dan kukuh padu.

Cinta sebelum kahwin dan selepas kahwin ada perbezaan. Saya ingin memberi pandangan saya secara peribadi untuk kita sama-sama fikir. Pada pendapat saya cinta sebelum kahwin dan kemudian kahwin lebih bahagia daripada cinta selepas kahwin. Bahagia di sini maksudnya kebahagian jiwa.  Saya katakan begitu kerana cinta sebelum kahwin akan memberi peluang kepada kita merasai kemanisan cinta sebenar sebab kita ada 'target' kenikmatan selepas diijabkabul. Kita menanti saat itu, kita menghitung hari menunggu saat dinikahkan kemudian menjalani kehidupan rumahtangga dengan orang yang sudah tentu kita menyayanginya. Semasa kahwin, kita merasakan kitalah yang paling bahagia dalam dunia ini. Selepas itu perjalanan cinta biasanya akan mengikut sumpah setia janji sebelum ini.....  Kita mendapat tiga kebahagiaan, sebelum, semasa dan selepas kahwin..... Selepas malam pertama (jika berlaku) kita akan tahu bahawa kita memang menyintainya)

Tetapi cinta selepas kahwin, kita diburu dilema samada kita boleh atau tidak menerima cinta pasangan kita. Kita terasa dikongkong kerana tidak berupaya memilih sendiri jodoh. Kita lebih kepada 'ikutlah'. Untuk menempuh keserasian cinta dengan pasangan sesuatu yang susah untuk dibentuk. Kita lebih kepada menerima seadanya. Kita bagaikan terpaksa menyintai pasangan kita walaupun bukan lahir dari hati. Kita tidak mesra dengan pasangan. Lebih kepada menggalas tanggungjawab. Perasaan cinta tidak menonjol tetapi lebih kepada perasaan suka atau sayang saja.

Mereka yang bercinta selepas kahwin akan merasai sayang dan suka hanya selepas malam pertama. Mereka 'gilakan' pasangan mereka kerana 'kenikmatan' yang dirasai pada malam pertama. Itulah cinta yang mereka rasakan walaupun pasangan mereka bukan kehendak hati sebenar. (Mungkin kalau tidak ada kenikmatan malam pertama, tidak akan ada cinta bagi mereka.....?)

Tidak mustahil mereka yang bercinta selepas kahwin akan mengimpikan cinta sebelum kahwin apabila sudah kahwin nanti. Sebab itu walaupun sudah kahwin, sesetengah ada yang cuba 'pasang' seorang lagi untuk merasa kenikmatan cinta sebelum kahwin.

ARTIKEL INI TIDAK BERNIAT UNTUK MELUKAKAN HATI SESIAPA. SEKADAR PENDAPAT PERIBADI YANG HANYA DISOKONG ILHAM FIKIR SAHAJA. Harap Maaf.

Jumaat, 11 September 2009

Taksub Kepada Bomoh

Seorang kawan (Z) bercerita, dia dituduh mengilmukan isteri kawannya K. Cerita bermula apabila isteri K yang juga kawan kepada isteri Z bekerja di syarikat Z.Oleh kerana selalu balik lewat dan malam-malam bertalipon, K jadi cemburu. K mula curiga dan dalam senyap-seyap dia bertemu seorang bomoh di utara Kelantan. Entah macamana cerita, bomoh itu menujum mengatakan isteri K terkena ilmu Z semasa mereka out station di Pulau Pinang. Kononnya Z menggunakan ilmu tiup ke muka. Maka kononnya isteri K pun tergila-gilakan Z.

Tetapi walaupun bomoh itu memberi minum air jampi dan sebagainya isteri K tetap tidak berubah sentiasa sibuk dengan tugasnya di syarikat Z. Isteri K tetap tidak mahu berhenti kerja walaupun K memaksanya. K terus berusaha mencari bomoh lain sehinggalah mencecah dua puluh orang. Yang peliknya, kalau Tok Alim atau Tok Lebai kata isteri K bukan terkena buatan orang tetapi memang perangai isterinya, K tidak mempercayainya tetapi jika ada bomoh khurafat berkata dibuat orang dia terus percaya dan menuduh kawannya Z.

Bukan setakat itu sahaja, K membawa cerita kepada semua kaum keluarga dan kawan-kawannya bahawa Z mengilmukan isterinya. Habis keluarganya mengancam hendak membelasah Z. Bahkan bapa K cuba merempuh Z ketika bertemu di masjid. Mujur tidak terjadi kes.

Z kata kalau betul dia ada ilmu boleh membuat orang gilakan dia, dia tidak akan ilmukan isteri K yang sudah mempunyai 8 orang anak itu. Kalau betul dia ada dia akan ilmukan anak dara......

Isteri K tidak juga berubah walaupun dah berpuluh bomoh ditemuinya. K semakin taksub kepada bomoh. Sebut saja ada bomoh dia akan jumpa walaupun habis beratus ringgit. Isteri K kata kenapa suaminya tidak minta bomoh-bomoh yang dia jumpa itu membuat pembenci supaya dia membenci kepada Z dan tidak bekerja di situ lagi. Dia bekerja kerana ada alasan tersendiri.

Walau bagaimanapun untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku berikutan K sendiri mengancam Z, maka Z memberi cuti tanpa gaji kepada isteri K untuk meredakan keadaan. Namun begitu, K sentiasa mengancam Z. Hubungan persahabatan sudah putus......

(Cerita ini banyak yang boleh dipersoalkan.........................)

Isnin, 7 September 2009

Kenangan Silam - Memori Remaja.

Tika sendirian di depan monitor usang, kuteringat puisi-puisi lama yang banyak tersimpan dalam fail. lalu kucapai sebuah fail puisi lama yang kukarang puluhan tahun lepas. Setelah membelek-belek kuterjumpa sebuah puisi yang sangat meninggalkan kesan zaman keremajaan dahulu.... walaupun puisi ini tidak bernilai sastera tetapi sengaja kucatatkan di sini supaya ingatanku tidak nyanyuk.....
PUISI PENGEMIS CINTA II
Misteri apakah semalam Shafira
bahtera belayar di samudera sepi
karam tanpa kematian
pulau bahagia hanyut tenggelam
mata tercapai tangan tak sampai.

I - Musim berganti zaman
     variasi memisahkan perjalanan
     remajamu melangkah dewasa
     harapan memuncak ketandusan upaya
     kau berlegar di ruang masa
     aku menanti dalam mitosis usia
     terpaku di depan tabir waktu.

     Lagenda uda dan dara
     mimpi sekadar melembutkan perasaan
     lalu terjaga diulit keresahan
     bangkit memandang pilu
     setitik
     setitik
     airmata membilang bilah-bilah kehampaan
     kau dengan mercu kejayaan
     melangkah membina sempadan kita.

II - Saat tawa memenuhi kerianganmu
      aku menyusur luka-luka duka
      menyentuhi serpihan cinta terpadam
      ketewasan dari pengemisan semalam
      menghantar aku ke dasar kekecewaan.

     Pengemis-pengemis seperti aku
    dinafikan ruang teduh cinta
     membiarkan kasih bertaburan, bergelimpangan
     kepanasan dibakar penantian
     kedinginan diselimuti kerinduan

Realiti menyedarkan aku Shafira
jurang antara kita ciptaan insan
kita antara jurang ciptaan Tuhan
egoistik, materialistik dan keupayaan
menjarakkan titik pertemuan
dan tidak mungkin bertemu lagi.....

......................dan bila teringatkan sebab-sebab lahirnya puisi ini, air mata hampir menitis......